MARAN 31 Mei 2019 Bersamaan 27 Ramadhan 1440H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah meminta peneroka Felda di negara ini bersabar berikutan dengan ketidakstabilan harga komoditi yang berlaku pada masa kini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda juga merasai dan memahami kedudukan Felda yang berdepan situasi tersebut hingga menimbulkan keresahan kepada peneroka di negara ini.

“Saya harap peneroka di Felda bersabar… dan bermuhasabah diri kerana turun naik harga kelapa sawit memang mengikut pusingan ekonomi dan ia bukan tertakluk kepada kelapa sawit sahaja malah yang lain-lain turut mengalami situasi sama.

“Kerajaan Pusat dan negeri sedang berusaha mencari alternatif dan juga sumber-sumber lain untuk meningkatkan hasil peneroka Felda.

“Jadi saya berharap peneroka memberikan kepercayaan kepada pengurusan baharu Felda serta kerajaan mencari jalan keluar daripada masalah tersebut,”titah Seri Paduka.

Dalam pada itu, baginda percaya dan yakin jika semua pihak mempunyai pemikiran yang positif, hati yang sabar dan seterusnya memberikan kepercayaan kepada pengurusan baharu Felda yang cuba menangani masalah yang timbul dengan secepat serta sebaik mungkin.

“Sempena Ramadhan ini, rakyat juga perlu menyuburkan sifat sabar sehingga ke bulan-bulan lain”, titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Petuan Agong.

Baginda bertitah sedemikian sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat Daerah Maran dan Pengurniaan Sumbangan Hari Raya di Masjid Jamek Felda Jengka 5 di sini, hari ini.

Mengiringi sama paduka anakanda baginda, Yang Amat Mulia Tengku Mejer Amir Nasser Ibrahim Shah.

Hadir sama memuliakan keberangkatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ialah Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ SrI Wan Rosdy Wan Ismail, Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Dato’ Sri Haji Ishak Muhammad, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak dan Sahibus Samahah Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr Haji Abdul Rahman Haji Osman dan barisan Exco kerajaan negeri.

Pengerusi Felda,Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor dan pegawai-pegawai Felda antara yang turut hadir memuliakan keberangkat Al-Sultan Abdullah.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan sumbangan peribadi baginda dan juga sumbangan wang zakat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kepada 220 penerima asnaf dan golongan kurang berkemampuan dari daerah Maran.

Turut hadir, Timbalan Yang Di-Pertua MUIP, Yang DiHormati Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Haji Wan Abdul Wahid Wan Hassan, Pegawai Daerah Maran, Yang Hormat Dato’ Zaman Azam Mohamat Sharif @ Ahmad, Ahli Parlimen Maran, Dato’ Sri Ismail Muttalib Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Luit dan Chenor, Ahli-Ahli Jumaah Pangkuan Diraja Pahang, Pegawai kanan negeri dan daerah Maran.