TEMERLOH 21 Jun 2019 Bersamaan 15 Syawal 1440H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya semua pihak harus ‘berebut’ membantu mangsa-mangsa bencana.

Titah Seri Paduka, apa yang penting dalam keadaan bencana dan musibah seperti itu adalah kesungguhan dan keikhlasan semua pihak yang tampil membantu mangsa-mangsa terjejas.

Pemimpin dan penjawat awam perlu mempunyai sikap ‘melompat’ (segera) untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat yang ditimpa bencana.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, sikap itu dapat membantu meringankan beban mangsa yang sedang berdepan ujian daripada Allah SWT.

“Saya tidak mahu kehadiran saya ini menjemput orang-orang lain datang cuma hendak tengok dan bercakap sahaja. Lebih baik bantu sikit sebanyak kalau tidak ada RM100 hulurlah RM10, kalau tidak ada sekampit beras, bagilah secupak beras, kalau tidak ada cek besar bagi cek kecil, kalau tidak ada baju baru bagilah baju lama, bantuan seumpama ini yang saya harapkan.

“Dan ini jugalah pesanan oleh Almarhum Ayahanda saya (Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah) iaitu apabila ada bencana negeri Pahang di mana-mana pun, di kampung-kampung, pemimpin dan penjawat awam seharusnya melompat mengejar untuk membantu,” titah baginda sempena majlis pengurniaan sumbangan di Kampung Haji Ali di sini, hari ini.

Turut berkenaan bercemar duli, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan negeri, Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsuddin yang mewakili kerajaan negeri, Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang.

Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin dan Pengerusi Bencana Daerah Temerloh, Yang Hormat Dato’ Azlan.

Sempena kunjungan itu baginda turut berkenaan beramah mesra dan melawat beberapa buah rumah mangsa sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Ubudiah, Batu 1, di sini.

Baginda turut berkenan menyempurnakan kurniaan sumbangan peribadi baginda menerusi Yayasan Istana Abdulaziz dan sumbangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kepada semua mangsa yang terlibat.

Sebanyak 74 buah rumah, dua buah surau dan dua buah sekolah agama rosak dalam kejadian ribut pada Isnin lalu.

Pada masa yang sama, baginda bertitah supaya semua mangsa yang terjejas dalam kejadian ribut itu supaya sabar dan tabah menghadapi ujian daripada Allah.

“Saya bersama Raja Permaisuri dan keluarga begitu bersimpati atas musibah yang dihadapi penduduk di sini dan saya harap sempena hari Jumaat ini kita semua harus bersabar dan inilah dugaan yang ditunjukkan Allah,”ujarnya.

Turut hadir, Timbalan Yang DiPertua MUIP, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, Sagibus Samahah Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman Osman, Ahli Dewan Undangan Negeri Semantan, Nor Azmi Ludin, Pegawai Kanan Kerajaan dan pemimpin-pemimpin masyarakat tempatan.