KUALA LUMPUR 24 Jun Bersamaan 21 Syawal 1440H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengampuni limpah berkenan meraikan 22 peserta program eksplorasi Gunung Syue, Taiwan 2019.

Majlis berlangsung di Dewan Serbaguna, Istana Negara, Kuala Lumpur, pagi tadi.

Program anjuran Kelab Media Pahang dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang akan berangkat ke Taipei,Taiwan pagi esok.

Peserta program membabitkan 16 wartawan dan jurugambar mewakili pelbagai agensi media yang berkhidmat di Kuantan, Pahang dan Kuala Lumpur.

Enam lagi pendaki mewakili pegawai kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Antara mengambil bahagian Pengarah Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Dato’ Abdul Wahab Mat Yasin, Pengarah JBPM Pahang Nor Hisham Mohamad, Presiden Kelab Media Pahang, Dato’ Nik Naizi Husin dan wartawan Harian Metro Pahang, Mohamad Azim Fitri Abd Aziz.

Program diketuai wartawan TV3 Fazli Ahmad dijangka mendaki Gunung Syue atau Snow Mountain, taiwan setinggi 3,886 meter dari aras laut selama empat hari mulai pagi, Rabu ini.

Di majlis ini, Seri Paduka Baginda Yang Di-pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah turut perkenan menyerah Jalur Gemilang, bendera Pahang dan bendera JBPM utk dibawa pendaki hingga ke puncak.

Kelab Media Pahang mula aktif dalam sukan mendaki sejak 2014 dan sudah menganjurkan program mendaki di beberapa gunung di dalam dan luar negara.

Antara gunung yang pernah didaki Gunung Fan Sipan, Vietnam, Gunung Kerinci, Indonesia, Gunung Pulag, Filipina, Pangkalan Hadapan Annpurna (ABC), Nepal dan Gunung Daik, Indonesia.

Fazli memberitahu, matlamat penganjuran aktiviti pendakian ini adalah untuk membina kecergasan fizikal dan mental dikalangan pengamal media.

Menurutnya, program ini juga dapat membina kerjasama dan disiplin dikalangan peserta selain mengeratkan hubungan silaturrahim sesama pendaki.