BENTONG. 23 Julai 2019 bersamaan 20 Zulkaedah 1440H – Masjid Sultan Haji Ahmad Shah pada hari ini berlangsungnya Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil sempena kemangkatan Almarhum Paduka Ayahanda KDYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah.

Majlis ini dihadiri kerabat-kerabat diraja Pahang, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Kemala Pahang Tengku Dato’ Hajah Aishah binti Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Pahang Tengku Tan Sri Hajah Meriam yang juga merupakan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, paduka-paduka adinda dan juga paduka-paduka anakanda.

Bersempena program pada hari ini, turut diadakan penyampaian sumbangan kepada 100 orang penerima terdiri daripada golongan yang memerlukan. Mereka menerima kurniaan wang tunai dari Yayasan Istana Abdulaziz dan Majlis Ugama Islam Pahang berserta hamper barangan keperluan. Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Yang Hormat Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Osman mengetuai majlis bacaan Yasin dan tahlil.

Hadir sama, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail, Yang DiHormat Orang Kaya Indera Pahlawan, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Pahang Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan dan pemimpin-pemimpin.