KUANTAN. 30 Julai 2019 bersamaan 27 Zulkaedah 1440H – Sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah diadakan Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat bertempat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1.

Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Osman memimpin bacaan surah Yasin dan tahlil, diakhiri dengan bacaan doa selamat mendoakan kesejahteraan baginda tuanku. Para jemaah bersama-sama solat maghrib diikuti dengan solat hajat serta berjemaah solat isyak.

Kehadiran Yang Amat Mulia Kerabat-kerabat Bergelar turut bersama-sama di majlis tersebut. Antara jemaah lain yang turut hadir, YB Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang, YAA Ketua Hakim Syarie Negeri Pahang, YH Pengarah JAIP, pegawai-pegawai kanan serta rakyat jelata.

Pada pagi hari ini juga berlangsungnya Istiadat Pertabalan KDYMM Tuanku Sultan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16. Untuk tempoh 5 tahun akan datang baginda tuanku dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong bersemayam di Istana Negara.