KUANTAN. 14 Ogos 2019 Bersamaan 13 Zulhijjah 1440H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan pengurusan Hospital Pahang Medical Centre (PMC) supaya dapat mengekalkan rentak kecemerlangan perkhidmatan kesihatan sekali gus menjadi mercu tanda kejayaan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP). Titah baginda, MUIP telah membuat pelaburan yang besar dalam membina hospital tersebut yang dilengkapi
kemudahan sebanyak 64 buah katil.

“Kita risau kerana pelaburan hospital ini besar… jadi saya berharap hospital ini dapat dikendalikan sebaik mungkin.

“Apa saja tugas, termasuk saya sebagai Yang di-Pertuan Agong harus dilakukan dengan baik kerana rakyat menilai. Apa lagi dalam perkhidmatan hospital, perbualan orang merupakan satu cara promosi,” titah baginda pada majlis lawatan ke PMC di sini, hari ini.

Pada masa yang sama, Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengimbas kenangan peribadi baginda dengan bangunan empat tingkat yang terletak di Jalan Gambut di sini. Titah baginda, bangunan yang kini dikenali Hospital PMC begitu dekat di hati baginda sehingga memiliki ‘aura tersendiri’ sebaik sahaja menjejak kaki di pintu utama.

Menurut Al-Sultan Abdullah, bangunan itu dibina semasa kegemilangan pasukan bola sepak Pahang sekitar tahun 1982 yang dinamakan Wisma Bolasepak Negeri Pahang dan dirasmikan oleh ayahanda baginda, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.

“Pasukan bola sepak Pahang memenangi Piala Malaysia untuk kali pertama pada tahun 1983 dan piala itu dipamerkan di sini untuk tatapan peminat pasukan Pahang. Malah, semasa ayahanda saya merasmikan bangunan ini pada tahun 1984, almarhum adalah Yang di-Pertuan Agong yang ketujuh.

“Secara kebetulan kedatangan saya ke sini hari ini, juga adalah sebagai Ketua Negara,” titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Turut mengiringi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan paduka anakanda baginda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Pahang, Tengku Tan Sri Hajah Meriam Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah. Seri Paduka Baginda turut mengampuni perkenan melawat kemudahan-kemudahan yang disediakan di PMC termasuk menziarah seorang ibu yang baru melahirkan anak di tingkat 4, hospital tersebut.

Baginda juga berkenan menyempurnakan pelancaran Aplikasi PMC dan bergambar kenangan bersama Lembaga Pengarah dan pengurusan sebelum berangkat meninggalkan majlis tersebut. Turut hadir, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Sahibus Samahah Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman Haji Osman, Timbalan Yang Dipertua MUIP YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid Haji Wan Hassan, Pengurus Besar PMC, Zuraidah Adnan dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dato’ Indera Dr. Sha’ari Ngadiman.

Sementara itu, Zuraidah Adnan dalam taklimatnya memaklumkan PMC bermula sebagai klinik yang menawarkan rawatan pesakit luar dan perkhidmatan bersalin di lot kedai di sini, dengan MUIP menjadi salah satu pemegang saham bermula 1 April 1996. Mereka berpindah ke Jalan Gambut pada 3 Mei 2011 sebelum dijenamakan sebagai PMC pada 13 Mei 2017. Menurutnya, PMC kini dilengkapi dengan kemudahan seperti unit rawatan rapi, dewan bedah, dewan bersalin, makmal pengimejan diagnostik, farmasi dan bilik khas fisioterapi serta menawarkan rawatan pesakit luar.Lawatan PMC (1) Lawatan PMC (2) Lawatan PMC (3) Lawatan PMC (4) Lawatan PMC (5) Lawatan PMC (6) Lawatan PMC (7) Lawatan PMC (8) Lawatan PMC (9) Lawatan PMC (10) Lawatan PMC (11) Lawatan PMC (12) Lawatan PMC (13) Lawatan PMC (14) Lawatan PMC (15) Lawatan PMC (16) Lawatan PMC (17) Lawatan PMC (18) Lawatan PMC (19) Lawatan PMC (20) Lawatan PMC (21) Lawatan PMC (22) Lawatan PMC (23) Lawatan PMC (24) Lawatan PMC (25) Lawatan PMC (26) Lawatan PMC (27) Lawatan PMC (28) Lawatan PMC (29) Lawatan PMC (30) Lawatan PMC (31) Lawatan PMC (32) Lawatan PMC (33) Lawatan PMC (34) Lawatan PMC (35)