PEKAN. 15 Ogos 2019 bersamaan 14 Zulhijjah 1440H – Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang Kali ke-112 pada pagi ini berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah (KISHAS). Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan berangkat mencemar duli mempengerusikan mesyuarat.

Turut berangkat sama paduka anakanda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Keberangkatan tiba KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong disambut ahli-ahli mesyuarat yang terdiri daripada kerabat-kerabat Diraja Pahang, Orang-Orang Besar (Berempat, Berlapan, Enam Belas), Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri dan ahli-ahli Mesyuarat JPDN yang lain.

Sebelum berangkat meninggalkan bangunan KISHAS selesai mempengerusikan mesyuarat, baginda berkenan menyempurnakan sesi bergambar bersama-sama ahli-ahli Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang.