MARAN. 27 Ogos 2019 bersamaan 26 Zulhijjah 1440H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan bercemar duli menyempurnakan Program Lawatan ke Daerah Maran pagi tadi.

Sempena proram lawatan ini, diadakan ziarah kasih ke tiga buah rumah asnaf serta turut berkesempatan melawat rumah yang musnah dalam bencana kebakaran. Baginda beramah mesra serta turut berkenaan mengurniakan sumbangan wang tunai peribadi dan sumbangan dari Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang.

Selesai ziarah kasih, baginda berangkat ke Kampung Huma Luas bagi meraikan rakyatnya bersempena dengan Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat. Seramai 120 orang yang diraikan dalam majlis ini menerima kurniaan wang tunai dan hamper. Turut diadakan penyerahan sumbangan berjumlah RM28 ribu dari pihak Majlis Ugama Islam Pahang bagi tujuan kos pembaikan Surau Kampung Huma Luas.

Mengiringi baginda, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan serta pemimpin-pemimpin setempat.

Gambar Ihsan dari Unit Media Menteri Besar Pahang

Ziarah Kasih dan Ramah Mesra (1) Ziarah Kasih dan Ramah Mesra (2) Ziarah Kasih dan Ramah Mesra (3) Ziarah Kasih dan Ramah Mesra (4) Ziarah Kasih dan Ramah Mesra (5) Ziarah Kasih dan Ramah Mesra (6) Ziarah Kasih dan Ramah Mesra (7) Ziarah Kasih dan Ramah Mesra (8) Ziarah Kasih dan Ramah Mesra (9) Ziarah Kasih dan Ramah Mesra (10)