CHENOR. 27 Ogos 2019 bersamaan 26 Zulhijjah 1440H – Pembaikan Surau Kampung Huma Luas dilaksanakan secara bergotong-royong oleh penduduk kampung menerima ucapan penghargaan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam titahnya bersempena keberangkatan baginda ke kampung berkenaan bagi menyempurnakan Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat.

“Saya berterima kasih kepada penduduk Kampung Huma Luas dan penduduk sekitar yang hadir ke majlis pengurniaan sumbangan dan ramah mesra ini selain bersama-sama bergotong-royong membaik pulih surau hari ini.

“Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang menyediakan peruntukan sebanyak RM28,000.00 untuk kos baik pulih Surau Kampung Huma Luas dan RM20,000.00 untuk mangsa kebakaran di Kampung Jengka Batu 13 di sini serta sumbangan kepada 120 asnaf dari Mukim Kertau dan Mukim Bukit Segumpal,” titah baginda.

Mengiringi baginda semasa menyempurnakan majlis pengurniaan sumbangan, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan.Majlis Sumbang untuk baik pulih surau