ALOR SETAR 30 Ogos 2019 Bersamaan 29 Zulhijjah 1440 Hijrah – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bercemar duli berangkat kemajlis menghadap Sultan Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, di sini hari ini.

Baginda membawa perutusan paduka ayahanda, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Al-Mustafa Billah Shah yang telah mengampuni limpah perkenan mengurniakan darjah kebesaran Pahang, Darjah Kerabat Sri Indera Mahkota Pahang Yang Amat Dihormati (D.K.) kepada Sultan Kedah.

Sultan Sallehuddin berkenan menerima persembahan warkah pengurniaan Darjah Kebesaran Pahang, (D.K.) daripada Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dalam satu majlis ringkas di Istana Anak Bukit.

Manakala pengurniaan Darjah Kerabat tersebut akan disempurnakan sendiri oleh Al-Sultan Abdullah di Istana Negara, 5 September ini.

Sultan Sallehuddin menaiki takhta kerajaan negeri Kedah pada 12 September 2017 selepas kemangkatan paduka kekanda baginda, Sultan Kedah Ke-28, Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Anak Bukit, 11 September.

Rombongan Pemangku Raja yang mengiringi, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Yang DiHormati Orang Kaya Indera Pahlawan,Dato’ Sri Haji Wan Abdul Wahid Wan Hassan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak.

Mengiringi sama, Sahibus Samahah Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr Haji Abdul Rahman Haji Osman, Yang Hormat Mulia Dato’ Setia Pahlawan, Dato’ Indera Aidy Tengku Kamil Ismail, Timbalan Paduka Lela Yang Hormat Mulia Tok Muda Mejee Tengku Mohd Najirulzaman Tengku Jamaluddin

dan Pengelola Bijaya Diraja Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Yang Hormat Dato’ Ahmad Khirrizal Abd Rahman.

Manakala pembesar dan pegawai kanan negeri Kedah yang hadir pada majlis tersebut, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Utama Haji Mukhriz Tun Mahathir, Tengku Laksamana Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Sri Diraja Tunku Sajudin Arif Ibni AlAminulkarim Sultan Salehuddin, Sohibus Samahah Dato’ Syeikh Fadzil Bin Haji Awang dan Setiausaha Sulit Kerajaan negeri Kedah dan Setiausaha Sulit Sultan Kedah.