KUANTAN 31 Ogos 2019 Bersamaan 1 Muharam 1441 Hijrah – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat melawat lokasi kebakaran di Pekan Sungai Lembing di sini hari ini.

Selesai sahaja Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang di Jalan Mahkota, Kuantan, baginda terus berangkat dan tiba di lokasi kejadian jam 12.15 tengah hari.

Dalam kebakaran kira-kira jam 1.20 pagi itu membabitkan 20 rumah kedai dua tingkat, 11 rumah kongsi setingkat dan sebuah perpustakaan awam di bandar warisan, Sungai Lembing.

Manakala dua orang mangsa dilaporkan terperangkap dalam kejadian diambang Hari Kemerdekaan Negara Ke-62.

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah meluangkan masa kira-kira 30 minit menemui mangsa dan turut meninjau kawasan kebakaran.

Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan bagi pihak paduka ayahanda baginda, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah sebanyak RM500 menerusi tabung bencana Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA), kepada 33 keluarga mangsa terbabit.

Pemangku Raja Pahang juga turut berkenan menyempurnakan pengurniaan sumbangan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sebanyak RM500 dan sumbangan kerajaan negeri RM1,000.

Turut mengiringi Pemangku Raja Pahang ke tempat kejadian, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Abdul Rahim Muda dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Nor Hisham Mohamad.

Hadir sama, Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd. Shahar Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md. Sohaimi Mohamed Shah.

Kebakaran Sungai Lembing-1 Kebakaran Sungai Lembing-2 Kebakaran Sungai Lembing-3