KUANTAN. 1 September 2019 bersamaan 1 Muharam 1441H – Sambutan Maal Hijrah 1441 pada hari ini disambut selang sehari selepas Kemerdekaan Negara ke-62 yang disambut pada hari semalam. Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang 1441H yang berlangsung di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah disambut meriah dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Mengiringi baginda, Yang Amat Mulia Tengku Besar Pahang, Tengku Kamil Ismail bin Tengku Idris Shah dan paduka kakanda YAM Mejar Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Baginda berkenan mengurniakan Tokoh Maal Hijrah bagi tahun 1441H/2019M kepada Yang Hormat Dato’ Haji Muhammad bin Haji Abdullah yang merupakan mantan Timbalan Speaker Dewan Rakyat. Selain itu juga, dikurniakan Anugerah Inovasi Jabatan kepada Dapur Infaq Ummah dan Perkampungan Orang Asli Lerya, Cameron Highlands dikurniakan Anugerah Inovasi Perkampungan Orang Asli Islam. Lain-lain anugerah adalah Anugerah Pengkhidmat Agama, Anugerah Mubaligh Saudara Baru serta Anugerah Inovasi Kakitangan.

Majlis pada pagi tadi juga turut diadakan ceramah yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Ustaz Muhammad Awis Qarni bin Abdul Wahab dari Pusat Pengajian Islam Ribat Al-Mustafa dan persembahan nasyid.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan, YB Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad dan ketua-ketua jabatan.