KUANTAN. 15 September 2019 Bersamaan 15 Muharam 1441 Hijrah – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan simpati dan berharap kerajaan negeri cakna bagi membantu masalah yang dihadapi mangsa kebakaran di Pekan Sungai Lembing di sini semalam.

“Saya ucap terima kasih kepada semua pihak yang tampil membantu mangsa kebakaran di sini sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Saya akan mengawasi dari segi tindakan susulan.

“Saya juga bersimpati di atas kehilangan dua penghuni bangunan di sini. Diharap keluarga mangsa dapat bersabar dan kehadiran saya di sini semata-mata untuk menzahirkan rasa simpati atas kejadian yang berlaku,” titah baginda.

Baginda yang memandu sendiri pacuan empat roda bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah tiba kira-kira jam 3 petang meluangkan masa kira-kira sejam bertemu mangsa bagi menghulurkan sumbangan dan melawat tapak kebakaran. Dalam kejadian di ambang hari kemerdekaan pada 31 Ogos lalu, sebanyak 32 unit kediaman, 19 rumah kedai dua tingkat dan sebuah perpustakaan awam musnah dalam kebakaran kira-kira jam 1.30 pagi yang turut mengorbankan sepasang warga emas.

Pada majlis yang sama, baginda meminta semua pihak menghulurkan sumbangan bagi membantu penghuni di sini, membaiki rumah-rumah yang kelihatan usang. Baginda berharap, semua pihak tampil membantu mangsa memandangkan struktur bangunan di Pekan Sungai Lembing sudah usang dan boleh mendatangkan bahaya kepada penghuni.

“Saya dimaklumkan bangunan di sini begitu usang dan lama yang mungkin ada bahayanya. Jadi, bangunan sebegini perlu diberikan perhatian sewajarnya kerana boleh mengakibatkan kehilangan nyawa dalam insiden sebegini.

“Saya harap penghuni (yang masih tinggal) di sini dapat membuat persiapan serta berbincang dengan pihak berkuasa bagi mencari tempat alternatif kerana kawasan ini nampak ketinggalan dan usang. Saya harap agensi terbabit dapat membantu,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika lawatan kerja bertemu 32 mangsa kebakaran Sungai Lembing di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di sini, petang semalam. Sementara itu, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kerajaan negeri akan mendapatkan maklumat mengenai mangsa yang terjejas bagi membantu mereka yang terbabit dalam bencana tersebut.

“Selepas kita mendapatkan maklumat, kita akan berbincang dan fikirkan bentuk bantuan yang akan diberikan kepada mereka”, katanya.

Hadir sama, Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhammad, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi Negeri Pahang, Yang Berhormat Dato’ Sri Norolazali Sulaiman, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, Yang Berhormat Abdul Rahim Muda, Setiausaha Kerajaan Pahang, Yang Berhormat Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak. Pengarah Bahagian, Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) , Yang Hormat Dato’ Abdul Wahab Mat Yassin dan Pengarah JBPM Pahang, Nor Hisham Mohammad.Kebakaran di Sungai Lembing-1 Kebakaran di Sungai Lembing-2 Kebakaran di Sungai Lembing-3 Kebakaran di Sungai Lembing-4 Kebakaran di Sungai Lembing-5 Kebakaran di Sungai Lembing-6 Kebakaran di Sungai Lembing-7 Kebakaran di Sungai Lembing-8 Kebakaran di Sungai Lembing-9 Kebakaran di Sungai Lembing-10 Kebakaran di Sungai Lembing-11 Kebakaran di Sungai Lembing-12 Kebakaran di Sungai Lembing-13 Kebakaran di Sungai Lembing-14 Kebakaran di Sungai Lembing-15 Kebakaran di Sungai Lembing-16 Kebakaran di Sungai Lembing-17 Kebakaran di Sungai Lembing-18 Kebakaran di Sungai Lembing-19 Kebakaran di Sungai Lembing-20 Kebakaran di Sungai Lembing-21 Kebakaran di Sungai Lembing-22 Kebakaran di Sungai Lembing-23 Kebakaran di Sungai Lembing-24 Kebakaran di Sungai Lembing-25 Kebakaran di Sungai Lembing-26