PEKAN. 29 Oktober 2019 Bersamaan 1 Rabiulawal 1441 Hijrah – Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Lela Wangsa, Tengku Tan Sri Hajah Meriam binti Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang kali ke-178. Mesyuarat yang berlangsung di Bilik Mesyuarat, Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah dihadiri oleh Timbalan Yang Dipertua, Yang DiHormat Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan.

Ahli-ahli Mesyuarat Majlis yang turut hadir, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Mejar Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Dato’ Sri Dr. Sallehuddin bin Ishak, Yang Berhormat Penasihat Undang-Undang Dato’ Sri Haji Shamsulbahri bin Haji Ibrahim, Yang Berbahagia Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor bin Haji Husin, Yang Hormat Dato’ Sri Md. Sharif bin Shamsuddin, Yang Hormat Dato’ Sri Haji Wan Abdullah bin Haji Wan Salleh, Yang Hormat Prof. Dato’ Dr. Abdul Monir bin Yaacob, Yang Hormat Dato’ Mohd Mokhtar bin Shafii, Yang Hormat Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang Dato’ Syed Ahmad Fuad bin Syed Taha dan Setiausaha Majlis Yang Hormat Dato’ Ahmad Hairi bin Haji Hussain.

Mesyuarat yang berlangsung pada pagi tadi dimulakan dengan bacaan doa oleh Yang Berbahagia Timbalan Mufti, Tuan Haji Abdul Zaki bin Md Zin.

Mewakili Majlis, Yang Amat Mulia Tengku Yang Dipertua menyampaikan takziah kepada keluarga Allahyarham Ustaz Mohd Fauzan yang meninggal dunia dalam kemalangan semasa bertugas. Yang Amat Mulia Tengku Yang Dipertua dalam ucapannya memaklumkan terdapat 3 pindaan undang-undang telah diwartakan pada 10 Oktober 2019 merangkumi :-

1) Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Pindaan) 2018. Pindaan yang dibuat dalam enakmen ini berkait rapat dengan perjalanan kerja Majlis. Antara inti pati penting pindaan adalah :
i) Seksyen 21 Kekerapan Mesyuarat Majlis dipinda daripada tidak melebihi 3 bulan berselang kepada sekurang-kurangnya 3 kali setahun.
ii) Seksyen 77 Berkaitan Audit iaitu Akaun Majlis hendaklah diaudit oleh mana-mana juruaudit yang dilantik oleh Majlis. Pindaan seksyen ini juga memuatkan mengenai Akaun Majlis tidak perlu dibentangkan di Dewan Undangan Negeri.
iii) Seksyen 78 Harta Wakaf Majlis yang mana harta wakaf tidak lagi perlu diwartakan.
iv) Seksyen 79 Anggaran Pendapatan dan Perbelanjaan (Bajet) Majlis hendaklah disediakan sebelum 30 November setiap tahun berbanding 31 Oktober sebelum ini. Pindaan juga menyatakan Bajet Majlis sama ada bajet tahunan atau bajet tambahan adalah diluluskan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan ianya tidak lagi perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa negeri sepertimana yang dilaksanakan sebelum ini.
v) Seksyen 89 dan 90 Pembinaan dan Pengubahsuaian Masjid memperincikan mengenai kedua-dua perkara ini. Kegagalan mematuhi kehendak Seksyen 89 boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya sekali. Dan kegagalan mematuhi kehendak Seksyen 90 boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

2) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Pindaan) 2018.

3) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Pindaan) 2018.

Yang Amat Mulia Tengku Yang Dipertua juga mengingatkan supaya mengambil langkah-langkah keselamatan menghadapi bencana banjir yang kebiasaannya melanda negeri-negeri Pantai Timur di penghujung tahun. Sebelum mengakhiri ucapannya, Yang Amat Mulia Tengku Yang Dipertua menzahirkan penghargaan terima kasih kepada mantan Ahli Majlis, Yang Hormat Dato’ Haji Kamaruddin bin Zakaria atas khidmat beliau selama 9 tahun sebagai Ahli Majlis Ugama Islam Pahang.Tiga Pindaan Undang-undang diwartakan-1 Tiga Pindaan Undang-undang diwartakan-2 Tiga Pindaan Undang-undang diwartakan-3 Tiga Pindaan Undang-undang diwartakan-4 Tiga Pindaan Undang-undang diwartakan-5 Tiga Pindaan Undang-undang diwartakan-6 Tiga Pindaan Undang-undang diwartakan-7 Tiga Pindaan Undang-undang diwartakan-8 Tiga Pindaan Undang-undang diwartakan-9 Tiga Pindaan Undang-undang diwartakan-10 Tiga Pindaan Undang-undang diwartakan-11 Tiga Pindaan Undang-undang diwartakan-12 Tiga Pindaan Undang-undang diwartakan-13Zakaria atas khidmat beliau selama 9 tahun sebagai Ahli Majlis Ugama Islam Pahang.