KUANTAN. 19 November 2019 Bersamaan 22 Rabiulawal 1441 Hijrah – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al-Marhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj mengampuni limpah berkenan mendedikasikan Anugerah Ikon Kraf 2019 yang diterima baginda sebagai hadiah kepada kerajaan negeri Pahang.

Majlis Kraf Dunia (WCC) baru-baru ini memberi penghormatan menganugerah Ikon Kraf 2019 kepada baginda atas sumbangan baginda dalam mengekalkan warisan kraf tradisional di negara ini.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri Pahang, Badan-Badan NGO khususnya penghargaan terima kasih kepada suami baginda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang yang juga Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Titah Tunku Azizah, baginda tidak boleh menerima ucapan tahniah atas penganugerahan itu hanya untuk diri sendiri, memandangkan terdapat ramai lagi individu lain di negeri ini, yang turut terlibat dan berganding tenaga dalam pembangunan kraf yang dilakukan baginda.

“Anugerah tersebut juga, adalah pengiktirafan kepada Yang di-Pertuan Agong atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan untuk baginda membangunkan Tenun Pahang Diraja.

“Jika orang datang mengucapkan tahniah, saya katakan itu bukan untuk saya seorang… itu adalah untuk negeri Pahang yang selama ini telah mempercayai dan menggalakkan saya untuk terus memulihara industri kraf,” titah Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ketika menyempurnakan titah perasmian Pameran Warisan Pahang di Muzium Seni Pahang di sini semalam.

Titah Tunku Azizah, baginda mengakui mempunyai pasukan yang bagus yang bersama-sama baginda menggerakkan warisan kraf di Pahang.

“Itulah sebabnya saya katakan anugerah ini adalah untuk Pahang,” titah baginda.

Turut mengiringi baginda, paduka anakanda Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Mejar Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan isteri Yang Hormat Mulia Puteri Suraiya Afzan dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Merujuk kepada pameran yang mengumpulkan 31 pelukis dan enam jurufoto kelahiran Pahang, Tunku Azizah juga secara spontan bertitah bahawa keluarga baginda juga memiliki ‘seorang pelukis yang amat berbakat’.

Titah baginda, anakanda bongsu, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah mewarisi bakat seni daripada sebelah baginda dan akan melanjutkan pelajaran dalam bidang seni di sebuah universiti di London tahun hadapan.

Seri Paduka Raja Permaisuri Agong juga menzahirkan hasrat mahu melihat supaya industri tenun di Pahang mengorak langkah dengan mencuba pendekatan baharu seperti menghasilkan benang daripada daun nanas dan batang pisang serta sejenis tumbuhan dikenali sebagai ‘reed’ yang banyak terdapat di Tasik Chini, Pekan.

“Tenun Pahang kena cuba menghasilkan benang yang lain, kerana kita ada nanas di Rompin… daun nanas dieksport ke Filipina untuk membuat kain dan mungkin ini industri baru yang dapat dibangunkan,” titah Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

Raja Permaisuri Agong seterusnya menzahirkan jemputan kepada semua rakyat Malaysia yang mencintai tekstil tradisional, untuk menganggotai Kelab Pencinta Tekstil Tradisional (CITRA) yang ditubuhkan baginda, yang selain daripada tekstil, turut akan mengumpulkan kraf dan makanan tradisonal.

Usaha memulihara kraf menurut Tunku Azizah, adalah peranan semua pihak supaya keindahan dan identiti yang tersemai menerusi kraf tidak lupuk dan dapat dinikmati generasi akan datang.

Hadir sama Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri Yang Berbahgia Datin Sri Burhah Mohammed, Yang Amat Mulia Tengku Besar, Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah dan isteri, Cik Puan Tengah Rohaya Abd Rahim, mantan Menteri Besar Pahang, Yang Berhormat Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Yaakob dan isteri, barisan Exco negeri Pahang dan pegawai-pegawai kanan negeri.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan meluangkan masa kira-kira satu jam setengah bagi menyaksikan pelbagai hasil karya lukisan, foto dan kraf sambil beramah mesra dengan pelukis-pelukis pada pameran tersebut.

Pengiktirafan Anugerah Ikon Kraf-1 Pengiktirafan Anugerah Ikon Kraf-2 Pengiktirafan Anugerah Ikon Kraf-3 Pengiktirafan Anugerah Ikon Kraf-4 Pengiktirafan Anugerah Ikon Kraf-5 Pengiktirafan Anugerah Ikon Kraf-6 Pengiktirafan Anugerah Ikon Kraf-7 Pengiktirafan Anugerah Ikon Kraf-8 Pengiktirafan Anugerah Ikon Kraf-9 Pengiktirafan Anugerah Ikon Kraf-10 Pengiktirafan Anugerah Ikon Kraf-11 Pengiktirafan Anugerah Ikon Kraf-12 Pengiktirafan Anugerah Ikon Kraf-13 Pengiktirafan Anugerah Ikon Kraf-14 Pengiktirafan Anugerah Ikon Kraf-15 Pengiktirafan Anugerah Ikon Kraf-16 Pengiktirafan Anugerah Ikon Kraf-17 Pengiktirafan Anugerah Ikon Kraf-18 Pengiktirafan Anugerah Ikon Kraf-19 Pengiktirafan Anugerah Ikon Kraf-20 Pengiktirafan Anugerah Ikon Kraf-21