PEKAN 7 Disember 2019 Bersamaan 9 Rabiul Akhir 1441 Hijrah – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, menzahirkan kebimbangan dan menitahkan rakyat Malaysia untuk lebih bertanggungjawab dalam penggunaan teknologi moden dan komunikasi dialam maya.
Baginda bertitah, kemajuan teknologi dan komunikasi masakinu tidak seharusnya disalahguna dalam perkara yang boleh menggugat perpaduan dan keharmonian negara.
“Perbuatan menyebar fitnah, berita palsu dan kenyataan yang boleh menggugat keharmonian serta perpaduan negara merupakan satu perbuatan terkutuk yang tidak bertanggungjawab.
“Saya menyeru kepada sekalian rakyat untuk lebih bertanggungjawab dan menghargai keharmonian negara.
“Teknologi moden sewajarnya dijadikan alat untuk kesejahteraan rakyat dan mencipta kejayaan, bukannya merosakkan negara,” titah Seri Paduka pada Majlis Konvokesyen keenam DRB-Hicom University of Automotive Malaysia di Pekan di sini hari ini.
Pada konvokesyen tahun ini seramai 686 graduan yang berjaya memperolehi ijazah sarjana, sarjana muda, diploma dan sijil.
Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad Datuk Seri Syed Faisal Albar, Naib Canselor DRB-Hicom University of Automotive Malaysia Datuk Prof Dr Omar Osman, Setiausaha Kerajaan Pahang Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak, exco-exco kerajaan negeri Pahang, Ahli-Ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang dan Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan.
Mengulas mengenai kemajuan teknologi moden dan komunikasi alam maya, Al-Sultan Abdullah bertitah institusi pengajian tinggi juga perlu melakukan pelbagai transformasi agar dapat menyediakan graduan untuk menghadapinya.
Titah Seri Paduka, kehadiran teknologi membawa ‘the fourth industrial revolution’ yang memberi impak kepada kehidupan dan lanskap dunia masa hadapan yang mana teknologi dan sistem maklumat akan menggantikan manusia dalam kebanyakkan pekerjaan.
“Institusi pengajian tinggi hendaklah menawarkan kursus multi-discipline yang menjurus kepada teknologi di samping menerapkan kemahiran inter-personal, komunikasi, kerja berpasukan dan kepimpinan,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah yang juga Canselor universiti itu juga secara spontan, menyentuh mengenai kata semangat tertera pada dinding dewan itu, yang menarik perhatian baginda kerana disifatkan sebagai ‘pesanan yang baik’.
Pesanan itu mengingatkan supaya seseorang tidak berputus asa walaupun berdepan kegagalan sebanyak 100 kali kerana ia bermaksud terdapat 100 kali peluang untuk mencuba dan sedikit inovasi dapat membawa kejayaan pada masa depan.
“Saya harap ini akan menjadi pendoman kepada anak muda supaya tidak takut dengan kegagalan… sebaliknya lihat ia sebagai peluang untuk kita berjaya dengan lebih baik daripada apa yang kita ada sekarang,” titah Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah pada titah baginda, juga menzahirkan tahniah kepada semua graduan dan ibu bapa serta pengurusan universiti itu yang pada hari ini, menyaksikan 18 graduan kumpulan l pertama program Ijazah Sarjana menerima skrol mereka.
Seri Paduka juga menyentuh kejayaan universiti yang kini menawarkan 45 program asasi, diploma, ijazah sarjana muda dan pengajian pasca siswazah mengkhusus kepada eko-sistem otomotif, yang disifatkan baginda sebagai pencapaian membanggakan selepas dinaiktaraf kepada universiti pada Oktober 2015.
“Saya telah disembah maklum bahawa universiti ini telah memperkenalkan virtual campus experiential learning yang membolehkan pelajar tidak perlu hadir ke kampus untuk mengikuti sesi pembelajaran.
“Universiti ini juga telah mengorak langkah dengan melancarkan program akademik menerusi kaedah work-based learning yang dijayakan melalui kerjasama dengan Composite Technology Research Malaysia Sdn Bhd yang dapat memberi pendedahan yang lebih jelas kepada teknologi yang digunapakai di dunia serba moden,” titah Seri Paduka.