KUANTAN. 15 Januari 2020 Bersamaan 19 Jamadilawal 1441H – “Kutipan zakat harta di negeri ini pada tahun 2019 berjumlah RM142 juta. Kutipan menunjukkan peningkatan sebanyak RM10.5 juta atau 8 peratus berbanding tahun 2018 iaitu RM131.5 juta,” titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa menyempurnakan Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Badan Korporat di Istana Abdulaziz, pagi tadi.
“Kutipan itu tidak mencapai sasaran yang ditetapkan, namun bilangan pembayar zakat telah meningkat sebanyak 4.5 peratus dari 85,810 pembayar kepada 89,728 pembayar zakat pada tahun 2019, titah baginda.
Majlis serahan zakat perniagaan bagi tahun 2019 berjumlah RM9,447,117.68 oleh 10 badan korporat iaitu FGV Holdings Berhad RM2,124,974.00, Lembaga Jurukur Tanah Malaysia RM2 juta, Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) RM1,325,596.34, Tenaga Nasional Berhad (TNB) RM1,033,125.06, RISDA RM876,303.28, Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) RM700 ribu, Far East Holdings Berhad RM600 ribu, FELCRA Berhad Wilayah Pahang RM435,937.00, Telekom Malaysia Berhad RM207,480.00 dan Radicare Group of Companies RM143,702.00.
“Peningkatan dalam kutipan zakat akan memberi impak secara langsung kepada penerima bantuan zakat iaitu agihan akan dapat diperluaskan lagi. Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang melalui Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang menyasarkan kutipan zakat harta sebanyak RM145 juta pada tahun ini, titah baginda.
Baginda diiringi oleh Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Mejar Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Yang Hormat Setiausaha Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Dato’ Ahmad Hairi bin Haji Hussain dan Yang Hormat Pengurus Besar Kanan PKZ Pahang, Dato’ Haji Halidan bin Md Daud.