Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan selamat menjalani ibadah puasa bersempena Bulan Ramadan Al-Mubarak kepada seluruh rakyat Negeri Pahang.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID-19 masih dikuatkuasakan, justeru itu KDYMM Pemangku Raja Pahang dengan rasa berat hati menitahkan tidak diadakan Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih bersama rakyat sepanjang Ramadan tahun ini.

“Keputusan ini selaras dengan PKP yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri serta saranan Kementerian Kesihatan yang tidak menggalakkan perhimpunan besar atau aktiviti berkumpulan diadakan,” titah baginda.

“Baginda berharap keadaan wabak COVID-19 tidak akan mengurangkan semangat untuk terus beribadah, sebaliknya lebih membuatkan kita menginsafi dan mendekatkan diri dengan Allah SWT.

“Baginda menasihatkan seluruh rakyat mematuhi PKP, menjaga kesihatan diri dan keluarga, memakai topeng muka sekiranya berasa tidak sihat dan mengamalkan penjarakan sosial.

“Selaku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, baginda menyeru rakyatnya menunaikan kewajipan membayar Zakat Fitrah dengan kadar ditetapkan RM7. Pembayaran dibuat menerusi beberapa kaedah yang ditetapkan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang secara atas talian atau sistem penghantaran pesanan ringkas (SMS).

“Baginda mendoakan seluruh rakyat Negeri Pahang sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat dan sejahtera serta negeri ini dilindungi daripada wabak, bencana dan malapetaka,” titah baginda.