KUANTAN. 15 Mei 2020 bersamaan 22 Ramadan 1441H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, pegawai masjid dan kadi diminta supaya melihat prosedur operasi standard (SOP) yang dilakukan hari ini untuk pastikan peraturan dan arahan dilaksanakan di daerah demi keselamatan rakyat.”Pelaksanaan solat Jumaat di daerah selain Kuantan, akan dilaksanakan mulai 22 Mei dengan sebuah masjid di setiap daerah,” titah baginda sempena solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Masjid Negeri, Sultan Ahmad 1, di sini hari ini.KDYMM Pemangku Raja Pahang diiringi paduka kakanda, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Leftenan Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan paduka adinda, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah antara 40 jemaah yang menunaikan kewajipan itu dengan dipimpin Imam I, Yang Berbahagia Mohd Khalil Mohd Zari serta khutbah disampaikan oleh Imam Besar, Yang Berbahagia Dato’ Badli Shah Alauddin.”Alhamdulillah, jumlah pesakit COVID-19 di negara kita semakin terkawal dan selepas mendengar pembentangan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Majlis) semalam, saya bersetuju untuk kita adakan solat Jumaat secara percubaan di Kuantan hari ini.Sesi percubaan mengadakan semula solat Jumaat telah dipersetujui dilaksanakan hari ini di 3 buah masjid di Kuantan, iaitu Masjid Negeri Sultan Ahmad I, Masjid Universiti Islam Antarabangsa, Indera Mahkota dan Masjid Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah.”Saya pasti semua jemaah rindukan masjid untuk menunaikan solat berjemaah. Bagaimana pun, kita harus sama-sama faham musuh COVID-19 yang sedang kita hadapi sekarang tidak kelihatan. Langkah kerajaan menghentikan sementara solat jemaah di masjid adalah satu keharusan dalam hukum agama,” titah baginda.Baginda selaku Yang Dipertua Majlis menyeru umat Islam di Pahang membayar zakat fitrah.”Saya difahamkan baru 40 peratus kutipan. Bagi memudahkan proses pembayaran, saya bersetuju khidmat amil digerakkan semula. Bagaimana pun, ia mesti mengikut tatacara dan SOP yang ditetapkan, manakala mereka yang mempunyai perbankan internet, gunakanlah kemudahan itu.”Kutipan zakat akan disalurkan kepada asnaf, bagi tempoh 4 bulan pertama tahun ini Majlis telah pun mengagihkan RM56 juta.”Daripada jumlah itu, hampir RM10 juta disalurkan kepada asnaf yang terkesan dan hilang punca pendapatan berikutan COVID-19. Oleh itu, sekali lagi saya menyeru kepada rakyat untuk membayar zakat,” titah baginda.Baginda juga menasihatkan rakyat supaya menggandakan ibadah di 10 malam terakhir Ramadan seperti solat sunat tahajud, membaca al-Quran dan memperbanyakkan sedekah.