KUANTAN. 13 Jun 2020 Bersamaan 21 Syawal 1441 Hijrah – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berangkat ke Kampung Pasir Kemudi, Kampung Bukit Kuin 1 dan Kampung Bukit Kuin 2, Jalan Sungai Lembing bersempena Program Ziarah Kurniaan Kasih kepada golongan yang memerlukan.
Keberangkatan baginda diiringi KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj serta paduka anakanda putera dan puteri, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah.
KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menyantuni dan berkenaan mengurniakan sumbangan kepada 3 keluarga yang memerlukan bantuan untuk meringankan bebanan bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka. Baginda juga menitahkan kepada pengurusan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang menerusi Setiausaha, Yang Hormat Dato’ Ahmad Hairi bin Haji Hussain, yang turut mengiringi baginda dalam program berkenaan, pemberian bantuan zakat berupa bantuan peralatan perubatan kerusi roda kepada seorang OKU yang baginda ziarah.