PEKAN. 15 Jun 2020 Bersamaan 23 Syawal 1441 Hijrah – Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menyantuni dua buah keluarga di Jalan Rompin Lama, hari ini.

Baginda prihatin terhadap kebajikan golongan asnaf menerusi ziarah dan berkenaan mengurniakan sumbangan bagi mereka meneruskan kelangsungan hidup. Bersempena dengan Program Ziarah Kurniaan Ampun Kasih anjuran bersama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, bantuan zakat berbentuk wang tunai, barangan keperluan harian serta kelengkapan rumah dikurniakan kepada keluarga Encik Mohd Sallehmuddin Ismail dan Puan Zahara Abdul Karim.

Bantuan zakat diperuntukkan kepada Encik Mohd Sallehmuddin, seorang ketua keluarga yang mempunyai 7 orang anak, enam orang daripadanya masih belajar. Manakala, Puan Zahara merupakan seorang balu yang memiliki dua orang anak, dan salah seorang anaknya OKU. KDYMM Seri Paduka Baginda yang melawat beliau sekeluarga berkesempatan meletakkan batu bata di rumah beliau yang sedang dalam kerja-kerja binaan menerusi peruntukan bantuan zakat baik pulih rumah.Prihatin Kebajikan Asnaf (1) Prihatin Kebajikan Asnaf (2) Prihatin Kebajikan Asnaf (3) Prihatin Kebajikan Asnaf (4) Prihatin Kebajikan Asnaf (5) Prihatin Kebajikan Asnaf (6)