KUANTAN. 15 Jun 2020 Bersamaan 23 Syawal 1441 Hijrah – Program Ziarah Ampun Kasih anjuran bersama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang diteruskan menerusi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menyantuni golongan asnaf di Kompleks Asnaf MUIP, Kampung Pahang, Jalan Sungai Soi.

Keberangkatan tiba baginda disambut Yang Hormat Setiausaha Majlis Ugama Islam Pahang, Dato’ Ahmad Hairi bin Haji Hussain dan Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Ustazah Nor Rosyidah binti Mohamed Tahir yang mengurus hal ehwal pengurusan kompleks berkenaan.

Kunjungan baginda diselitkan dengan titah ringkas berkenaan bahaya pandemik wabak COVID-19 dan menasihatkan penghuni kompleks menjaga kesihatan serta kebersihan bagi bersama-sama membantu usaha kerajaan menamatkan penularan wabak berkenaan.

KDYMM Seri Paduka Baginda meninjau keadaan asrama penghuni dan berkenan mengurniakan sumbangan kepada mereka.

Kompleks Asnaf Majlis Ugama Islam Pahang mula beroperasi pada Oktober 2010 untuk memberi perkhidmatan perlindungan kepada asnaf. Kompleks ini dibangunkan di tanah wakaf seluas 3.4 ekar dengan kos pembinaan berjumlah RM3.5 juta pada fasa pertama. Pada tahun 2016, kompleks ini mengambil inisiatif memberi perlindungan kepada pesakit terlantar bagi mengimbangi pusat jagaan milik non-muslim. Justeru itu, sebuah blok asrama dua tingkat dibina untuk penempatan penghuni berkenaan. Majlis Ugama Islam Pahang optimis mengembangkan fungsi dan peranan Kompleks Asnaf bagi memberikan manfaat kepada masyarakat Islam serta memanfaatkan tanah wakaf yang diamanahkan ini untuk pembangunan umat Islam.ZiarahPenghuni Kompleks Asnaf (1) ZiarahPenghuni Kompleks Asnaf (2) ZiarahPenghuni Kompleks Asnaf (3)