KUALA LIPIS. 14 Julai 2020 Bersamaan 22 Zulkaedah 1441 Hijrah – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berangkat bercemar duli melawat 265 mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Chegar Perah, petang tadi.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi bin Tan Sri Abd. Razak, Yang Hormat Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi bin Ibrahim, Yang Hormat Setiausaha Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Dato’ Ahmad Hairi bin Haji Hussain dan Yang Berhormat ADUN Padang Tengku, Dato’ Mustapa bin Long.
Baginda meluangkan masa beramah mesra dengan mangsa-mangsa banjir serta berkenaan mengurniakan sumbangan peribadi dan bantuan zakat bencana dari Majlis Ugama Islam Pahang berjumlah RM33,000.00 kepada 66 ketua keluarga yang terlibat bagi meringankan bebanan.
Kejadian banjir yang berlaku pada hari semalam kira-kira jam 6.30 pagi di sekitar kawasan Mukim Batu Yon 2 berikutan hujan lebat tanpa henti. Dianggarkan 5 buah kampung di kawasan Merapoh terlibat iaitu Kampung Berhamah, Persit, Kubang Hilir, Relau dan Kampung Salak.