PEKAN 2 September 2020 bersamaan 15 Muharram 1442H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Shah Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mengejutkan peminat sukan polo tempatan apabila baginda turun beraksi pada perlawanan latihan bersama pasukan polo Kelab Polo Diraja Pahang di sini, petang tadi.

Kemunculan Seri Paduka Baginda yang tanpa diduga itu, bukan sahaja mengejutkan peminat-peminat polo malah turut mengejutkan pemain-pemain muda pasukan Royal Pahang itu sendiri.

Kali terakhir baginda turun beraksi pada April 2014 sebelum berihat panjang ekoran kecederaan.

Perlawanan petang tadi, menyaksikan pasukan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong menentang pasukan yang diketuai Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.

Pasukan baginda dibarisi paduka anakanda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah, Muhamad Zulhelmi Nadzar dan pemain simpanan, Muhamad Shahir Ikmal Mohd Shah.

Manakala pasukan Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara menurunkan barisan pemain muda, Tengku Khairul Hasnan Shah b. Tg Suleiman, Roslan b Abd Rahman, Shahru Nizam b Onn dan pemain gantian Mohamad Faizal b Abu Bakar.

Perlawanan pada chukka pertama menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang.

Pasukan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong berjaya menjaringkan gol pertama menerusi sentuhan YAM Tengku Panglima Muda seminit sebelum wisel.

Bagaimanapun, peminat-peminat tidak dapat menyaksikan kehebatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong beraksi apabila baginda digantikan pemain simpanan, Muhamad Shahir Ikmal.

Perlawanan tiga chukka menyaksikan kemaraan pasukan Seri Paduka Baginda yang diterajui Pemangku Raja apabila memenam pasukan YAM Tengku Arif Bendahara 9 -1.

Pasukan lawan memperolehi gol saguhati menerusi jaringan YAM Tengku Arif Bendahara.

BFEE8291-D7BF-4192-98CE-85D4EB2CE8F1 DCE53DEF-3BD0-4431-91CC-431A1BF75001 170F5D8B-0578-4497-A66C-7F78436AE3F9 D81C95E4-FDBC-4EA6-BF2D-AD61F93EDB03 B0427F52-81AD-4D1D-B216-9E0B0B39544E 9858F5FE-E22D-451F-A383-68548B62E47A FECFB1E9-7E00-4109-A0C0-D77CC8EDF5C0 DFB8C5C4-E9C2-4363-B97A-0201C18B3B8F A24E3B1D-A5D4-4316-861F-123FFD5C4A4D DEABDC20-2AD2-410E-BD9D-31D217AAA231 31B69249-F8DF-4B81-976D-3E577176FA28 3FBF0FA6-CE68-4A93-AA72-CBF2EE9BFAD6 2537CC92-D1AF-4D76-AD25-D962F24F1F5F