PEKAN. 2 September 2020 Bersamaan 14 Muharam 1442 Hijrah – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat melawat lokasi kebakaran di Maahad Tahfiz Al-Quran Waddin Ibadah Mukmin, Kampung Lepar Baru, Tanah Putih yang terbakar dalam kejadian pada 31 Ogos lalu.
Keberangkatan baginda diiringi paduka adinda, Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Yang Amat Mulia Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.
KDYMM Pemangku Raja Pahang berkenan mengurniakan sumbangan dari Yayasan Al-Sultan Abdullah dan bantuan bencana zakat berjumlah RM1,000.00 dikurniakan oleh baginda selaku Tuanku Yang Dipertua, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang kepada pengurusan maahad. Majlis Ugama Islam Pahang juga telah menyampaikan bantuan awal berjumlah RM8,500.00 untuk keperluan 17 orang pelajar dan tenaga pengajar berupa wang tunai dan barangan keperluan.
Kebakaran pada awal pagi itu memusnahkan kira-kira 40 peratus bangunan, walau bagaimanapun semua pelajar dan kakitangan selamat.