KUANTAN. 26 Oktober 2020 Bersamaan 9 Rabiulawal 1442 Hijrah – “Semasa Mesyuarat Majlis yang lalu, saya telah bertitah mengenai peranan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang ketika rakyat jelata dilanda kesusahan. Syabas kepada pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, semoga ousaha ini dapat diteruskan,” titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
“Majlis mengagihkan bantuan sejumlah RM15.181 juta kepada 97 ribu rakyat antaranya gelandangan, 3 buah hospital, 5 buah sekolah dan 5 pusat kuarantin semasa mendepani pandemik COVID-19.
KDYMM Al-Sultan Abdullah berkenan bercemar duli berangkat sempena Mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang Kali Ke-181 yang diadakan di Hotel Grand Hyatt.
Baginda juga merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang mengadakan solat hajat dan doa selamat bagi mendoakan kesejahteraan dan kesihatan baginda.
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang dan institusi zakat turut membantu dalam menjaga agama mereka yang dibelenggu kesusahan agar tidak kehilangan arah sehingga mampu merosakkan akidah.
Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Na’im “Kemiskinan itu dekat kepada kekufuran.”
“Hadis memberi peringatan kepada semua golongan yang berkemampuan mengeluarkan zakat dan menghulur sedekah kepada mereka yang dibelenggu kemiskinan,” titah baginda.
“Ini kerana zakat dan sedekah turut memiliki fungsi sosial yang sangat penting dalam memperkasakan dan menjaga akidah ummah.
Baginda juga bertitah bahawa institusi kesultanan sangat berkait rapat dengan agama Islam. Sebuah buku yang berjudul “Miftahul Malayu” meriwayatkan bagaimana Sultan Malik Al-Zahir mengangkat agama Islam dan para ulama ke tempat yang tertinggi sehingga kerajaan Samudera Pasai menjadi pendakwah utama yang berjaya mengembangkan Islam ke seluruh nusantara.
“Akibat kelemahan pemerintahan Sultan Zainal Abidin sekitar tahun 1521 Masihi, Portugis dengan mudah menakluki kerajaan Samudera Pasai dan menghancurkan pusat dakwah Islam yang berusia 254 tahun.
“Natijahnya, keruntuhan institusi kesultanan akan mengakibatkan agama Islam kehilangan penjaganya. Tanpa penjaga, Islam dengan mudah boleh ditewaskan. Jangan kita lupa hakikat ini, kerana sejarah telah membuktikan bahawa syiar Islam sangat berkait erat dengan kedaulatan institusi kesultanan.
“Di bahu para Ahli Majlis sekalian tergalas amanah yang besar untuk menjaga, mempertahan serta mendaulatkan institusi kesultanan agar syiar Islam terus kekal, subur dan bersemarak di negara yang kita cintai ini.
“Justeru, teruskan gerak kerja dakwah, laksanakan amanah sebagai Ahli Majlis dengan jujur dan ikhlas. Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang adalah merupakan manifestasi kepada kuasa dan peranan raja pemerintah.
Negara masih berhadapan pandemik COVID-19. Peningkatan kes mendadak memaksa kerajaan pusat melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan Diperketatkan di beberapa negeri dan kawasan tertentu.
“Alhamdulillah situasi kes COVID-19 di Pahang masih terkawal, saya mengingatkan kerajaan negeri dan rakyat jelata agar sentiasa mematuhi semua peraturan, nasihat dan saranan pihak berwajib.
“Pesanan kepada seluruh rakyat jelata, bersama-sama menjaga kesihatan diri, mematuhi perintah dan saranan kerajaan agar pandemik COVID-19 ini dapat kita harungi sehingga beroleh kejayaan,” titah KDYMM Al-Sultan Abdullah.