JENGKA. 7 Januari 2016, bersamaan 26 Rabiulawal 1437H – Keberangkatan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Pasaraya Darulmakmur Cawangan Jengka Bandar Tun Abdul Razak. Pasaraya Darulmakmur adalah di bawah pengurusan anak syarikat Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang, MUIP Supermarket Group Sdn. Bhd.
Baginda bertitah, rangkaian Pasaraya Darulmakmur yang terdapat di Kuantan, Temerloh, Jengka dan Pekan telah memperolehi lebih RM18.4 juta sepanjang tahun lalu hasil daripada 4 cawangan Pasaraya Darulmakmur. Pembukaan Pasaraya Darulmakmur bertujuan untuk membantu golongan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) menjana pendapatan dengan membekalkan barangan keluaran mereka untuk dijual kepada orang ramai serta memenuhi keperluan umat Islam setempat membeli barang keperluan yang diyakini dan tanpa ragu-ragu.
Bersempena dengan perasmian pasar raya ini juga, Majlis Penyerahan Baucar Barangan Bulanan kepada asnaf fakir dan miskin diadakan. Baucar ini sebagai alternatif kepada asnaf membeli barangan keperluan harian bagi menangani kos sara hidup yang meningkat. Keseluruhan peruntukan baucar kepada asnaf berjumlah RM3 juta.
Selaku Tuanku Yang Dipertua Majlis, KDYTM Tengku Mahkota berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada 3 badan korporat berjumlah RM463,031.63 yang telah diterima daripada Affin Islamic Bank Berhad (RM250,000.00), RHB Islamic Bank Berhad (RM150,000.00) dan juga Unitab Medic Sdn Bhd (RM63,031.63).
Baginda juga telah berkenan menyampaikan Bantuan Zakat Pendidikan Pelajar berjumlah RM1.2 juta (RM1,210,000.00) kepada beberapa institusi pendidikan antaranya Jabatan Agama Islam Pahang untuk SMAN (RM660,000.00), Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (RM200,000.00), Universiti Malaysia Pahang (RM200,000.00), Maahad Tahfiz Negeri Pahang (RM100,000.00) dan Universiti Teknologi Mara Cawangan Jengka (RM50,000.00). Selain itu, penyerahan 3 buah van keseluruhan berjumlah RM294 ribu. Antara penerimanya adalah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Pahang dan 2 buah van jenazah diserahkan kepada Badan Khairat Kematian Kampung Bangau Parit Temerloh dan Masjid An-Nur Temerloh. Manakala bagi Bantuan Baik Pulih Rumah, asnaf menerima sumbangan berjumlah RM15 ribu dan Bantuan Bina Baru Rumah asnaf telah menerima bantuan berjumlah RM40 ribu.
Pada sebelah pagi, KDYTM Tengku Abdullah telah berkenan mempengerusikan Mesyuarat Majlis kali ke-167 yang bersidang di Hotel Darulmakmur Jerantut.