Tanggal 23 Januari 2016 telah mencatat sejarah di antara Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang dan Institut Jantung Negara (IJN) kerana bermulanya kerjasama kedua-dua agensi tersebut dalam membantu pesakit yang kurang berkemampuan dari negeri Pahang bagi mendapatkan rawatan yang lebih sempurna di IJN. Tirai kerjasama ini disingkap dengan sumbangan zakat daripada Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang kepada IJN sebanyak RM1 juta bagi tahun 2016.
Menyempurnakan kerjasama ini maka KDYMM Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan mencemar duli bagi mengurniakan sumbangan tersebut di majlis yang diadakan di IJN. Turut berangkat di majlis yang bersejarah ini DYMM Sultanah Pahang Sultanah Hajjah Kalsom dan disertai bersama oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis YDH Dato Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Wan Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif IJN YH Dato’ Dr. Mohd Azhari Yakub, YAM Kerabat-Kerabat Bergelar, Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Yang Berhormat, Ahli Mesyuarat Majlis, Tetamu Jemputan, Pegawai dan Kakitangan IJN serta Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang.