KUANTAN. 30 Mac 2016, bersamaan 21 Jamadilakhir 1437H – “Tulisan Jawi Pemangkin Kegemilangan Peradaban Ummah” tema Seminar Antarabangsa Tulisan Jawi yang berlangsung di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah. Keberangkatan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang ke KUIPSAS bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Seminar Antarabangsa Tulisan Jawi.
Baginda bertitah agar kegemilangan tulisan Jawi dapat dikembalikan. Dalam memperkasakan penggunaan tulisan Jawi, Baginda menitahkan Jabatan-Jabatan Kerajaan, Badan Berkanun, Majlis-Majlis Daerah serta pihak Swata di negeri Pahang mengaplikasi tulisan Jawi menerusi setiap aktiviti yang dijalankan. Manakala, Kerajaan Negeri hendaklah memperkenalkan tulisan Jawi secara berperingkat-peringkat dalam urusan pentadbiran dan tulisan pada papan tanda arah. Pihak Kementerian Pendidikan juga diharap ke hadapan memainkan peranan agar tulisan Jawi dipertingkat penggunaanya di sekolah serta dalam kalangan masyarakat. Selain itu, kajian terperinci dijalankan ke atas manuskrip-manuskrip lama dalam tulisan Jawi.
Tulisan Jawi merupakan warisan sejarah dan budaya bangsa. Justeru itu, dengan mengembalikan kegemilangan tulisan Jawi, sesuatu bangsa itu akan dihormati kerana ketinggian budayanya. Sempena seminar tersebut juga, kertas kerja yang bertajuk “Peranan Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang Dalam Memartabatkan Tulisan Jawi di Negeri Pahang Darul Makmur” telah dibentangkan oleh YDH Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Wan Hassan, Timbalan Yang Dipertua Majlis. Hadir bersama di Seminar Antarabangsa Tulisan Jawi, YAB Menteri Besar Pahang, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Rektor KUIPSAS serta penyertaan peserta dari negara luar seperti Thailand, Brunei dan Rusia.