KUANTAN. 23 Mei 2016 bersamaan 16 Syaaban 1437H – Keberangkatan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mencemar duli menghadiri bagi menyempurnakan perasmian Seminar Ulama Pahang Kali Ke-5 dan melancarkan Portal Diraja Pahang yang berlangsung di Astana Ballroom, Hotel MS Garden. KDYTM Tengku Mahkota Pahang turut berkenan mengikuti diskusi oleh Timbalan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam, Yang Mulia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain@Maidin bagi berkongsi pengamalan Pelaksanaan Undang-Undang Syariah di negara Brunei.
Semasa titah penyempuranaan perasmian, KDYTM Tengku Mahkota Pahang telah bertitah iaitu sebahagiannya:
“…Ulama Dan Umara Adalah Pasangan Tokoh Masyarakat Yang Paling Utama Dan Berpengaruh, Oleh Itu Ulama Dan Umara Tidak Boleh Dijauhkan Apatah Lagi Untuk Dipisahkan…”
Baginda juga bertitah :
“…Ulama’ Dan Umara’ Perlu Bersatu Dan Berhimpun Di Bawah Agama, Ini Kerana Ulama’ Dan Umara’ Adalah Pewaris Nabi Muhammad S.A.W. Ulama’ Mewarisi Ilmu Daripada Nabi Manakala Umara’ Pula Mewarisi Kepimpinan Atau Politik Daripada Baginda. Ilmu Dan Politik Tidak Boleh Dipisahkan Daripada Islam, Begitu Jugalah Ulama’ Dan Umara’. Merekalah ‘Ilmu’ Dan ‘Politik’ Bagi Umat Islam…”

KDYTM Tengku Mahkota Pahang juga berkenan melancarkan secara rasmi Portal Diraja Pahang dan portal ini memuatkan maklumat seperti aktiviti KDYMM Sultan Pahang, KDYTM Tengku Mahkota Pahang juga kerabat-kerabat diraja. Hadir bersama dalam majlis ini, YDH Dato’ Sri Timbalan Yang Dipertua Majlis, Sahibus Samahah Dato’ Sri Mufti Negeri Pahang, YB Dato’ Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas Negeri, YH Dato’ Pengarah JAIP, Yang Mulia Tengku Amir, Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang, Ahli-Ahli Majlis, para pembentang kertas kerja dan peserta seminar.

Disebelah sesi petang, KDYTM Tengku Mahkota Pahang turut berkenan untuk turut serta mendengar pembentangan kertas kerja iaitu “Memperkasakan pendidikan agama Islam negeri Pahang, cabaran dan masa hadapan” yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Prof Emeritus Tan Sri Dato’ Dr Abdul Shukor Husin dan “Ulama’ dalam siasah negara” yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Dr Yusof ‘ bin Haji Md Noor.