KUANTAN. 23 Mei 2016 bersamaan 16 Syaaban 1437H – Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mengejutkan urusetia dan 250 peserta seminar apabila baginda berkenan bercemar duli mengikuti sepenuhnya Seminar Ulamak Pahang Kali Ke-5 di Hotel MS Garden, yang berakhir lewat petang tadi.

Tengku Mahkota Pahang yang juga Yang DiPertua Majlis Ugama dan Adat Resam Melayu Pahang, sepatutnya berangkat pulang selepas menyempurnakan Perasmian dan Majlis santapan tengahari bersama para tetamu dan peserta seminar.

Selepas menunaikan solat zohor berjemaah bersama peserta, baginda berangkat semula ke dewan seminar di Aras 5, bagi mendengar pembentangan kertas kerja kedua dan ketiga pada seminar kali ini. Tengku Mahkota Pahang turut berkenan untuk turut serta mendengar pembentangan kertas kerja iaitu “Memperkasakan pendidikan agama Islam negeri Pahang, cabaran dan masa hadapan” yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Prof Emeritus Tan Sri Dato’ Dr Abdul Shukor Husin dan “Ulama’ dalam siasah negara” yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Dr Yusof ‘ bin Haji Md Noor.

Tengku Mahkota Pahang turut mengambil bahagian apabila baginda mengajukan soalan sebaik Tan Sri Yusoff Nor selesai membentangkan kertas kerja. Turut mengiringi sepanjang seminar, paduka anakanda baginda, Tengku Amir Nasser Ibrahim.