KUANTAN. 27 Mei 2016 bersamaan 20 Syaaban 1437H – Sidang Media Pengumuman Kadar Zakat Fitrah Negeri Pahang bagi tahun 1437H/2016M oleh YDH Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang setelah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah selaku Raja Pemerintah serta Ketua Agama Negeri Pahang Darul Makmur adalah RM7.00 (Ringgit Malaysia Tujuh Sahaja).
YDH Dato’ Sri Timbalan Yang Dipertua Majlis menyeru umat Islam dalam negeri ini hendaklah mengeluarkan zakat fitrah kepada 968 orang amil zakat fitrah yang telah diberi tauliah oleh pihak Majlis di tempat masing-masing bermula daripada awal Ramadan dan selewat-lewatnya sebelum Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri.
Beliau juga memaklumkan kepada media, di bawah Seksyen 40 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali kepada sesiapa yang enggan membayar fitrah. Manakala, sesiapa yang didapati memungut fitrah tanpa dia diberi kuasa atau dilantik oleh Majlis adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada tiga ribu ringgit atau penjara tidak lebih daripada dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sempena bulan Ramadan ini, umat Islam disunatkan supaya mendirikan Solat Sunat Tarawih berjemaah di masjid dan menghidupkan bulan Ramadan dengan amal ibadah. Majlis menyalurkan bantuan ihya Ramadan bagi tujuan pengimarahan masjid di bulan Ramadan kepada masjid-masjid di negeri Pahang. Pihak Majlis turut memperuntukkan RM3,640,850.00 bantuan menyambut hari raya kepada asnaf fakir dan miskin. Turut hadir pada sidang media tersebut YH Dato’ Ahmad Hairi bin Hussain, Setiausaha Majlis, YH Dato’ Haji Halidan bin Md Daud, Pengurus Besar Kanan PKZ Pahang, Ustaz Mohd Ali bin Mat Dasir, Pegawai Zakat Kanan dan Pegawai-pegawai Majlis.