BERA. 10 Jun 2016 bersamaan 5 Ramadan 1437H – Keberangkatan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bersama-sama KDYTM Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj serta anakanda YM Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan YM Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah meraikan kira-kira 200 orang asnaf daerah Bera dalam satu Majlis Berbuka Puasa bertempat di Masjid Kampung Dato’ Sri Hamzah.
Titah Baginda, di bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, umat Islam diingatkan mengambil peluang memperbanyakkan amalan ibadah. Sentiasa mendoakan untuk kesejahteraan kepada kedua ibu bapa, guru-guru dan para pemimpin. Dalam menempuhi bulan Ramadan ini, mengajar erti kesabaran kepada umat Islam, mereka yang sentiasa bersabar akan dilimpahi rahmat dari Allah SWT. Perkukuhkan akidah, supaya akidah yang teguh menjadi pegangan kita semua.
Sepanjang perjalanan Baginda melintasi beberapa daerah untuk sampai ke destinasi program di Bera ini dianggarkan jarak sejauh 190 kilometer, Baginda melihat telah banyak kemajuan yang dikecapi dan dinikmati rakyat negeri ini. Mengimbas kembali lawatan Baginda pada tahun lepas di Bera, di mana anakanda Baginda menikmati juadah yang dihidangkan dengan cukup berselera kerana kesedapannya.
Sebagai rakyat Pahang, mestilah sentiasa mensyukuri nikmat kurniaan Allah SWT yang dilimpahkan kepada rakyat negeri ini. Keamanan yang dinikmati sehingga hari ini hasil daripada kesatuan semua kaum, kita semua perlu bersatu untuk maju kehadapan.
Turut hadir memuliakan keberangkatan Tengku Mahkota, YDH Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang, YH Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, YB Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, YH Pengarah JAIP, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, YB Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas, YB ADUN Kemayan serta Pegawai Daerah Bera.
Sebelum itu, Baginda telah menyempurnakan pengurniaan kepada asnaf berupa hamper barangan makanan dan wang tunai yang keseluruhannya diperuntukkan berjumlah RM53 ribu. Baginda kemudiannya bersama-sama jemaah masjid menunaikan kewajipan solat Maghrib sebelum mengakhiri majlis keberangkatan Baginda di Bera.