KUANTAN. 12 Jun 2016 bersamaan 7 Ramadan 1437H – Pengurusan rumah anak yatim dan tahfiz bukan sahaja bertanggungjawab memberi ilmu pelajaran, malahan perlu diberi lebih penekanan dalam mendidik anak-anak ini sehingga menjadi insan yang berkualiti, yang mempunyai rasa kebertanggungjawaban, terdidik dan memiliki sahsiah diri yang terpuji. KDYTM Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Bandar Indera Mahkota sempena Majlis Pengurniaan Sumbangan dan Iftar Bersama Anak Yatim dan Pelajar Tahfiz.
Keberangkatan Baginda disertai bersama KDYTM Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj serta anakanda, YM Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan YM Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah. Seramai 310 orang anak yatim dan pelajar tahfiz diraikan dengan pengurniaan hamper barangan makanan bersama-sama wang tunai keseluruhannya berjumlah RM81 ribu.
Baginda terharu dengan komitmen NGO yang terlibat dalam aktiviti keislaman. Penglibatan lebih ramai NGO diperlukan. Justeru itu, Baginda menghargai penganjuran amal oleh Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia, penghargaan terima kasih kepada Presidennya, YH Dato’ Norashikin Abd Ghani. Baginda mengucapkan terima kasih kepada pembayar zakat dan berbangga melihat peningkatan kutipan zakat pada setiap tahun. Zakat yang dibayar, pihak Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang bertanggungjawab untuk mengagihkannya kepada 8 golongan asnaf.
Umat Islam yang lain juga perlu ada rasa tanggungjawab untuk membantu kepada yang memerlukan. Digalakkan institusi korporat yang ada dapat tampil membantu umat Islam dengan menyalurkan bantuan di masjid atau badan-badan kebajikan yang bertanggungjawab. Syukur kita panjatkan kepada Allah SWT dengan kehidupan yang kita nikmati hari ini di Malaysia, berbanding dengan apa yang dilalui oleh negara seperti Syria dan lain-lain. Justeru itu, marilah kita tunjukkan amalan-amalan yang baik sesama Islam.
Hadir mengiringi keberangkatan Baginda, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang. Sesudah iftar, Baginda bersama-sama para jemaah Masjid Tengku Ampuan Afzan menunaikan solat Maghrib.