TEMERLOH. 13 Jun 2016 bersamaan 8 Ramadan 1437H – Saya sentiasa ada bersama-sama rakyat di mana-mana pun, sama ada semasa waktu senang atau susah tidak kira apa yang terjadi. Justeru itu, rakyat perlu bersabar dan tabah menghadapi musibah yang terjadi, sesungguhnya ada rahmat di sebalik setiap kejadian yang berlaku, titah Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Baginda mencemar duli berangkat tiba di Dewan Orang Ramai untuk menemui mangsa-mangsa yang terlibat dengan bencana ribut serta menyempurnakan pengurniaan bantuan dan melawat rumah-rumah yang telah mengalami kerosakan.
Kejadian ribut disusuli angin kencang dan hujan lebat pada hari Sabtu yang lepas ketika hampir waktu berbuka puasa telah melanda beberapa buah kampung sekitar daerah Temerloh dalam Mukim Kerdau, Mukim Songsang dan Mukim Sanggang. Kejadian tersebut menyebabkan banyak rumah dan lain-lain bangunan mengalami kerosakan. Setelah mengadakan perbincangan dengan wakil rakyat, Baginda akan meminta kerjasama dari pihak tentera untuk bersama-sama membantu meringankan beban mangsa dengan penganjuran Program Jiwa Murni, Membaik Pulih Rumah supaya dapat dipersiapkan dengan segera sebelum Hari Raya Aidilfitri menjelang tiba.
Semoga semua yang ada dapat bersama-sama membantu. Penghargaan terima kasih kepada Ahli Parlimen dan ADUN yang telah memberi bantuan awal kepada mangsa. Harapan saya, kita semua dapat terus kekal bersatu dan bekerjasama. Sesungguhnya hanya Allah SWT dapat membalasnya dengan melimpahkan nikmat dan rahmat dariNya. Berikutan itu, bagi meringankan beban mangsa terlibat, KDYTM Tengku Mahkota Pahang mengurniakan sumbangan peribadi Baginda melalui Yayasan Istana Abdulaziz berjumlah RM37,200.00. Manakala, Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang telah mengagihkan sejumlah RM100,500.00 kepada 171 orang mangsa.
Pihak berkuasa tempatan telah menganggarkan kerosakan yang ditaksir berjumlah RM620,116.53 melibatkan kerosakan seperti rumah 146 buah, gerai dan kedai 21 buah. Selain itu, kerosakan melibatkan kemudahan infrastruktur antaranya, surau 2 buah, manakala masjid, bangunan KEMAS, Pusat Giat MARA, dewan terbuka serbaguna dan Sekolah Agama Rakyat 5 buah keseluruhannya. Keberangkatan Baginda disambut oleh YB Ahli Parlimen Kuala Krau Dato’ Hj. Ismail Hj. Mohamed Said, YB ADUN Lanchang Dato’ Sri Hj. Mohd Sharkar Hj. Shamsudin, YB ADUN Kerdau Dato’ Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Ketua Polis Pahang YH Dato’ Sri Sharifuddin Ab Ghani. Selesai kurniaan sumbangan dan lawatan, KDYTM Tengku Mahkota Pahang berangkat pulang ke Istana Sri Udara untuk persiapan menghadiri Majlis Kurniaan Sumbangan dan Berbuka Puasa di Masjid Kampung Kuala Tekal, Kerdau.