TEMERLOH. 13 Jun 2016 bersamaan 8 Ramadan 1437H – Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menitahkan agar kakitangan kerajaan diwajibkan untuk membayar zakat dengan kaedah potongan gaji pada setiap bulan. Zakat merupakan kewajipan kepada umat Islam. Selaku Tuanku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang, semenjak Baginda memimpin Majlis, beberapa pembaharuan dan perubahan telah dicapai dalam Majlis dari segi kutipan dan agihan zakat. Kejayaan yang dikecapi Majlis pada hari ini adalah hasil kerjasama daripada pembayar-pembayar zakat. Apabila berlakunya peningkatan kutipan zakat, maka lapan golongan asnaf dapat dibantu dengan memberi lebih banyak sumbangan untuk meringankan beban mereka.
Baginda bertitah sempena keberangkatan bagi menyempurnakan pengurniaan sumbangan dan berbuka puasa bersama-sama asnaf dan rakyat sekitar Masjid Kampung Kuala Tekal, Kerdau. Turut berangkat sama, KDYTM Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj serta paduka anakanda YM Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah. Sejumlah 620 orang penerima dengan pengagihan wang tunai berjumlah RM163 ribu, mereka juga turut menerima hamper barangan makanan.
Baginda mengimbas kembali lawatan tahun lepas semasa di Gunung Senyum betapa kemeriahan yang ditunjukkan memperlihatkan wujudnya hubungan yang rapat di antara rakyat dengan institusi diraja. Baginda juga meminta bersama-sama mendoakan untuk Paduka Ayahanda, KDYMM Tuanku Sultan agar cepat sembuh serta dikurniakan kesihatan yang baik.
Hari ini penuh dengan keberkatan, saya dan keluarga berkesempatan melawat rakyat di beberapa buah kampung yang mengalami musibah bencana ribut pada dua hari lepas menghampiri waktu berbuka puasa. Baginda secara peribadi dapat menyelami keadaan rakyat dengan mencemar duli menemui mangsa, mengurniakan sumbangan serta melawat rumah-rumah yang rosak. Baginda berasa bangga dengan usaha Ahli Parlimen dan ADUN yang bertindak dengan pantas bagi membantu meringankan beban mangsa.
Baginda menyampaikan penghargaan terima kasih kepada beberapa pihak yang akan membantu, terutamanya pihak Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia membaik pulih kerosakan rumah dengan segera sebelum menjelangnyanya Hari Raya Aidilfitri.
Secara ringkasnya, Baginda berkongsi berkenaan sejarah Masjid Kampung Kuala Tekal, di mana masjid tersebut telah dibangunkan oleh seorang katib yang berasal dari negara Arab. Kepentingan sejarah sesebuah masjid perlu diketahui asal usulnya agar kita semua dapat merasai betapa besarnya peranan masjid kepada umat Islam. Rakyat diingatkan perlu sentiasa mengimarahkan masjid. Berkenaan dengan undang-undang syariah, Baginda memaklumkan masih lagi terdapat beberapa perkara perlu diambil kira bagi memperkemaskan undang-undang tersebut.
Baginda kemudiannya bersama-sama para jemaah Masjid Kampung Kuala Tekal mengimarahkan masjid dengan menunaikan solat Maghrib berjemaah.