CHENOR. 14 Jun 2016 bersamaan 9 Ramadan 1437H – KDYTM Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang baharu sahaja berangkat pulang dari mengadap Seri Paduka Ayahanda, KDYMM Sultan Pahang di Institut Jantung Negara. Baginda Sultan mengirimkan salam untuk disampaikan kepada rakyatnya. KDYMM Sultan Pahang telah dimasukan ke IJN dua hari yang lepas bagi menjalani pembedahan kecil ditangan. Justeru itu, rakyat jelata negeri ini dapat bersama-sama mendoakan kesejahteraan dan kesihatan KDYMM Tuanku Sultan.
Baginda bertitah, Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang berperanan penting sebagai Institusi Pengurusan Hal Ehwal Islam. Prestasi pencapaian Majlis pada tahun 2015 amatlah membanggakan, di mana pihak Majlis telah mengagihkan sejumlah RM106 juta kepada 8 golongan asnaf. Berdasarkan jumlah pengagihan, kebanyakkan peruntukan zakat disalurkan kepada asnaf fakir dan miskin serta fisabilillah. Pengagihan zakat kepada golongan asnaf fisabilillah dapat meningkatkan syiar Islam dan membantu golongan ini melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi untuk memperdalami pelbagai ilmu seperti di institut pengajian tinggi serta pondok. Ilmu pengetahuan dapat membantu mereka keluar dari belenggu kemiskinan.
Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menyampaikan titah di Masjid Kampung Sekara, Kertau bersempena Majlis Pengurniaan Sumbangan dan Iftar. Keberangkatan Baginda diiringi bersama KDYTM Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj serta paduka anakanda YM Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah. Seramai 250 orang asnaf sekitar Chenor menerima sumbangan hamper barangan makanan berserta wang tunai. Secara keseluruhannya wang tunai yang diagihkan berjumlah RM67 ribu. Majlis dimuliakan dimulai dengan diperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.
Bulan Ramadan adalah bulan yang dilimpahi dengan keberkatan daripada Allah SWT. Justeru itu, semoga program seperti ini dapat mempereratkan ukhuwah dan silaturrahim di antara pihak istana dan rakyat jelata. Baginda juga menekankan pentingnya sebagai umat Islam agar dapat memperkukuhkan pegangan akidah masing-masing. Baginda juga menitahkan agar dapat diusahakan tanah-tanah yang terdapat di sekitar kawasan Kampung Sekara ini dengan perancangan yang tersusun dan pengurusan yang lebih baik. Selain itu, Baginda turut menekankan pentingnya kedudukan masjid yang merupakan tempat perkembangan syiar Islam, mana-mana bangunan masjid yang lama dapat ditambah baik agar dapat memberi keselesaan kepada umat Islam untuk beribadah.
Hadir sama memuliakan keberangkatan KDYTM Tengku Mahkota Pahang, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid Haji Wan Hassan, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad, YB Ahli Parlimen Maran Dato’ Haji Ismail Haji Abd Muttalib dan YB ADUN Kuala Sentul Dato’ Hajah Shahaniza Shamsuddin.
Baginda mengakhiri majlis di Chenor dengan menunaikan solat Maghrib bersama-sama jemaah Masjid Kampung Sekara.