PEKAN. 15 Jun 2016 bersamaan 10 Ramadan 1437H – Pengurusan masjid hendaklah memainkan peranan lebih proaktif dalam menjana pelbagai program yang dapat membantu meningkatkan taraf golongan asnaf fakir dan miskin. Selain menjadi pusat penyebaran dan perkembangan agama Islam, pelbagai aktiviti yang dapat dilaksanakan di masjid untuk peningkatan taraf umat Islam. Titah Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Masjid Felda Chini 1. Keberangkatan Baginda diiringi bersama KDYTM Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj dan anakanda YM Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah bersempena iftar bersama rakyat dan majlis pengurniaan sumbangan kepada 270 orang asnaf sekitar Felda Chini 1. Asnaf menerima wang tunai berserta hamper barangan makanan, keseluruhan agihan berjumlah RM72 ribu.
KDYTM Tengku Mahkota Pahang memaklumkan bangunan masjid-masjid yang lama ada sejarah tersendiri disebalik reka bentuk pembinaannya. Kita hendaklah pertahankan seni reka bentuknya daripada merobohnya untuk menggantikan pembinaan bangunan dengan reka bentuk moden. Namun begitu, mana-mana bangunan masjid yang perlu dibaik pulih akan diusulkan untuk dipanjangkan kepada pihak yang bertanggungjawab. Baginda sebelum itu menyampaikan salam daripada Seri Paduka Ayahanda untuk rakyatnya. Sepanjang perjalanan ke tempat program, Baginda melihat banyak projek dalam pembangunan, khususnya di DUN Chini. Harapannya,pembangunan yang sedang rancak dilaksanakan adalah berterusan.
Baginda menyampaikan penghargaan terima kasih kepada pihak ATM dan Polis yang membantu mangsa kejadian bencana ribut baru-baru ini di Temerloh. Diharap, semua pihak yang terlibat terutamanya wakil rakyat, mereka akan berada di barisan hadapan apabila rakyat ditimpa musibah. Sebagai sebuah institusi pengurusan hal ehwal Islam di negeri Pahang, Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang telah mencapai tahap yang membanggakan. Pencapaian ini seiring dengan peningkatan kutipan zakat dari tahun ke tahun dan begitu juga proses pengagihan zakat kepada asnaf. Sejumlah RM20 juta dibelanjakan setiap tahun untuk golongan fakir.
Di bulan Ramadan ini, rebutlah pahala dengan perbanyakkan amal ibadat, antaranya solat, membaca Al-Quran, bersedekah dan lain-lain. Penting juga memastikan pengukuhan ukhuwah sesama kita. Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh YAB Menteri Besar Pahang, YH Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, YH Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, YH Ketua Polis Pahang dan YB ADUN Chini. Baginda kemudiannya bersama-sama rakyat mengimarahkan Masjid Felda Chini 1 bagi menunaikan kewajipan solat Maghrib.