KUANTAN. 18 Jun 2016 bersamaan 13 Ramadan 1437H – Hujan lebat yang turun sejak dari awal pagi tidak menghalang keberangkatan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj mencemar duli menjayakan Program Memasak dan Mengagih Bubur Lambuk bertempat di Padang MPK 1. Turut mengiringi Baginda anakanda putera dan puteri YM Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, YM Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah serta YM Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.
KDYTM Tengku Puan Pahang dan paduka anakanda bersama-sama membantu mengisi bahan-bahan ke dalam masakan serta mengacau bubur lambuk bagi memastikan masakan digaul dengan sebati bersama bahan sehingga selesai dimasak.
Penganjuran program merupakan kerjasama antara Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Negeri Pahang (WI) dan Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Pahang. Baginda merupakan penaung bagi kedua-dua persatuan berasa bangga dengan kerjasama dan semangat yang ditunjukkan ahli-ahli dalam memastikan program berlangsung dengan jayanya walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak mengizinkan. Bubur lambuk yang telah siap dimasak diisi ke dalam bekas untuk diagihkan kepada pengunjung dan mereka yang berbuka puasa di Padang MPK.