KUANTAN. 18 Jun 2016 bersamaan 13 Ramadan 1437H – Orang ramai beratur panjang dalam keterujaan mendapatkan dan merasai sendiri masakan istimewa “air tangan Tengku Puan Pahang” bubur lambuk yang telah dimasak oleh Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj. Selain menerima kurniaan, mereka turut mengambil peluang bergambar dengan KDYTM Tengku Puan Pahang yang sangat ramah melayan rakyatnya.

KDYTM Tengku Puan Pahang bersama-sama anakanda telah menyempurnakan kurniaan sejumlah 1,500 bekas bubur lambuk kepada rakyat Pahang sama ada golongan dewasa mahupun kanak-kanak. Makanan yang menjadi tradisi dimasak pada bulan Ramadan ini akan menjadi hidangan untuk berbuka puasa.