PEKAN. 19 Jun 2016 bersamaan 14 Ramadan 1437H – Alunan bacaan ayat-ayat Al-Quran di rumah mantan Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Pekan Allahyarham YH Dato’ Sri Ghazali Kassim berterusan dibaca sementara selesai dibuat persediaan untuk membawa jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Sultan Ahmad Shah bersebelahan Makam Diraja. Keberangkatan ketibaan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj di rumah Allahyarham disambut dengan rasa terharu oleh ahli keluarga di atas kesudian KDYTM Tengku Puan Pahang bercemar duli ke Kampung Parit Tengah bagi menziarahi jenazah.

KDYTM Tengku Puan Pahang turut meluangkan masa membaca surah Yasin. Baginda menyampaikan ucapan takziah dan memberi kata-kata semangat agar ahli keluarga bertabah dalam kehilangan orang yang dikasihi menemui penciptaNya.Bersama-sama mengiringi Baginda berziarah, ahli-ahli Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) dan Persatuan Pandu Puteri Pahang.

Turut hadir menziarahi jenazah, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Haji Yaakob Menteri Besar Pahang, YB Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Pekan, Dato’ Abu Bakar Harun dan Isteri.