KUANTAN. 19 Jun 2016 bersamaan 14 Ramadan 1437H – Kegembiraan terpancar di wajah 35 buah keluarga asnaf apabila Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj bercemar duli berangkat meraikan mereka dalam Majlis Santai Iftar Ramadhan di Restoran Makanan Segera, Mc Donald’s Indera Mahkota, disini hari ini.
Sebelum majlis Iftar, baginda berkenan menyempurnakan pengurniaan sumbangan barangan makanan mentah, beras, minyak masak, bawang, gula, tepung dan lain-lain keperluan harian kepada 80 orang ahli keluarga asnaf daripada daerah Pekan dan Kuantan. Tengku Puan Pahang turut menyampaikan kurniaan duit raya daripada keluarga baginda menerusi Yayasan Istana Abdulaziz dan wang zakat daripada Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) keseluruhannya berjumlah RM20 ribu.
Program anjuran pihak Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama MUIP dan YIA antara lain bertujuan meraikan golongan asnaf, terutamanya kanak-kanak. Keseronokkan anak-anak kecil diwajah masing-masng apabila dapat menikmati hidangan yang disediakan, adalah suatu kepuasan kepada pihak penganjur. Keberangkatan diiringi bersama paduka-paduka anakanda YM Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah serta isteri Puteri Suraiya Dato’ Mohammad Moiz dan YM Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.
Hadir sama memuliakan keberangkatan keluarga diraja itu Naib Cancelor UMP, YH Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim, Pengurus Mc Donald’s Indera Mahkota, Yang Mulia Tengku Dato’ Nurul Kamalia binti Tengku Kamil Ismail, Pengurus Besar YIA, YH Dato’ Abdul Munir Abd Basit, Pegawai dan kakitangan UMP, YIA dan MUIP.