PEKAN. 20 Jun 2016 bersamaan 15 Ramadan 1437H – Bersempena turunnya Al-Quran dalam bulan Ramadan dianjurkan Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran Perdana bertempat di Masjid Tanjung Agas anjuran bersama Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) daerah Pekan. Berangkat bertadarus bersama rakyat, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj. Kehadiran KDYTM Tengku Puan Pahang menjayakan majlis tadarus dan khatam Al-Quran bersama rakyat memeriahkan lagi program serta merapatkan ukhuwah institusi raja dan rakyat. Hubungan mesra Baginda dengan rakyat jelas kelihatan apabila bersama-sama menyertai program ini.

Dalam majlis yang sama, Baginda menyempurnakan pengurniaan sumbangan bantuan zakat daripada pihak Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang. Layanan mesra serta keramahan Baginda menyapa anak-anak yatim dan warga tua mengembirakan mereka.Penerima terdiri daripada kalangan asnaf miskin dan anak yatim sekitar daerah Pekan dikurniakan hamper barangan makanan berserta wang tunai. Keseluruhan agihan berjumlah RM26 ribu kepada 100 orang penerima.