JENGKA. 30 Jun 2016 bersamaan 25 Ramadhan 1437H – Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah supaya masjid dan surau dijadikan sebagai medium penyatuan masyarakat tempatan tanpa melihat kepada pegangan politik.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan titah diraja sempena perasmian Majlis Khatam Al-Quran Rakan Muda Ramadhan Peringkat Negeri Pahang di Masjid As-Siddiqin FeldaJengka 15, petang tadi. Sempena Program Tadarus dan Khatam Rakan Muda ini, Baginda turut menyeru semua yang hadir, khususnya belia-belia supaya menjadikan Kalam Allah sebagai ikutan dan paduan hidup. “Mukjizat Al-Quran ini sudah terbukti daripada segi sains dan teknologi, Jadikan iannya sebagai bacaan amalan harian, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan Al-Mubarak ini, sekaligus kita meraih pahala berganda yang dijanjikan Allah”, tambah baginda.

Tengku Mahkota diiringi Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Alhaj dan paduka-paduka anakanda, Yang Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Yang Mulia Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah. Baginda juga turut berkenan menyampaikan sumbangan zakat daripada Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang kepada 215 orang penerima. Mereka menerima sumbangan hamper barangan makanan berserta wang tunai, keseluruhan agihan berjumlah RM57 ribu.

Turut memuliakan keberangkatan Tengku Mahkota Pahang, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang, YB Dato’ Haji Johari bin Hussain, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Ishak Mohammad dan Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas, YB Dato’ Haji Syed Ibrahim bin Syed Ahmad. Hadir sama memuliakan Tengku Mahkota Pahang, Timbalan Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Haji Ismail bin Mutalib, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, YB Dato’ Haji Ismail Mohd Said, Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Mohammad bin Jaafar dan ADUN Jengka, YB Dato’ Wan Salman bin Wan Ismail, ADUN Chenor, YB Dato’ Haji Ariffin Ismail, Pegawai Daerah Maran, YH Dato’ Syed Fuad bin Syed Tahar, Pengurus Besar YIA, YH Dato’ Haji Abdul Munir bin Abd Basit dan Setiusaha MUIP, YH Dato’ Ahmad Hairi bin Hussain.