KUANTAN. 1 Julai 2016 bersamaan 26 Ramadan 1437H – Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan keluarga meraikan tetamu istimewa terdiri daripada 165 anak-anak yatim daerah ini dalam satu Majlis Iftar di istana baginda, Istana Abdulaziz, di sini hari ini. Sebelum majlis iftar, Tengku Mahkota Pahang dan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Alhaj berkenan menyempurnakan pengurniaan wang zakat Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan kurniaan peribadi baginda menerusi Yayasan Istana Abdulaziz (YIA).

Turut meraikan, paduka-paduka anakanda, Yang Mulia Tengku Amir Nasser Ibrahim dan isteri, Yang Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Yang Mulia Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Yang Mulia Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Yang Mulia Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah. Sebaik selepas berbuka puasa, Tengku Mahkota sekeluarga dan para tetamu menunaikan solat Maghrib berjemaah yang diImamkan oleh Pengarah Maahad Tahfiz Negeri Pahang, YH Dato’ Haji Zulkifli Ali Al-Hafiz.

Turut diadakan Majlis Bacaan Surah Yasin dan Tahlil bagi memperingati Almarhumah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang, Tengku Hajjah Afzan Rahimahallah binti Almarhum Tengku Panglima Perang, Tengku Muhammad. Turut sama meraikan anak-anak yatim berbuka puasa, Yang Amat Mulia Tengku Besar Pahang, Tengku Kamil Ismail bin Tengku Idris Shah dan isteri Cik Puan Tengah, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri DiRaja, Haji Adnan Yaakob, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Ishak bin Mohammad, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Muhammad Safian bin Ismail, Sahibus Samahah Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman bin Osman, Timbalan Yang Dipertua MUIP, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan, Pengurus Besar YIA, YH Dato’ Haji Abdul Munir Abd Basit, Exco-Exco Kerajaan Pahang, Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan bersama isteri masing-masing.