MUADZAM SHAH. 2 Julai 2016 bersamaan 27 Ramadan 1437H – Syarikat-Syarikat Pemaju Perumahan diseru membantu pihak kerajaan bagi membiayai pembinaan masjid di kawasan perumahan yang dimajukan. Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah ketika menyempurnakan titah perasmian Masjid Baharu Bandar Satelit Muadzam Shah yang disumbang oleh Syarikat Kencana Bersatu Sdn. Bhd., di sini hari ini. Titah baginda, selain memberi manfaat kepada penduduk setempat, ianya juga dapat memberi pulangan dalam bentuk keberkatan harta serta keuntungan di akhirat.

“Sesebuah entiti perniagaan tidak sepatutnya hanya mementingkan keuntungan semata-mata, sebaliknya perlu juga mengambil kira kepentingan sosial dan kebajikan masyarakat sekeliling”, tegas baginda. Tambah baginda lagi, disamping membina kemudahan komuniti dan pusat ibadah, syarikat-syarikat korporat boleh tampil memainkan peranan dalam menyediakan peruntukan biasiswa kepada pelajar-pelajar cemerlang, menyumbang kepada aktiviti-aktiviti kemasyarakatan selain menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan. Tengku Mahkota Pahang turut menyeru Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) supaya dapat merancang program-program dan aktiviti bagi mengimarahkan masjid supaya kemudahan yang disumbang pihak swasta itu dapat diguna sebaiknya.

“Saya yakin dan percaya, jika kita dapat mengurus masjid ini dengan sempurna, maka akan terserlah imej kehebatan, kemuliaan dan kesyumulan Agama Islam itu sendiri, khususnya kepada para musafir yang singgah beribadat dan berehat di sini”, titah baginda. Tengku Mahkota Pahang, bagi pihak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah berkenan menamakan masjid baharu yang dibina dengan kos RM4.5 juta itu dengan nama Masjid Tengku Ampuan Afzan Bandar Satelit Muadzam Shah.

Turut mengiringi Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj dan paduka-paduka anakanda putera dan puteri, Yang Mulia Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan isteri, Yang Mulia Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Yang Mulia Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Yang Mulia Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah. Pada majlis yang sama Tengku Mahkota dan Tengku Puan Pahang berkenan menyempurnakan pengurniaan wang zakat dan hamper barangan makanan daripada Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) berjumlah RM54 ribu, wang zakat sumbangan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan kurniaan peribadi baginda menerusi Yayasan Istana Abdulaziz (YIA) kepada 200 orang asnaf sekitar Muadzam, Bukit Ibam dan Gugusan Felda Tun Abdul Razak.

Turut memuliakan keberangkatan Tengku Mahkota, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob, Timbalan Yang Dipertua MUIP, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan, Yang Hormat Dato’ Setia Perkasa Yang Mulia Tengku Dato’ Sri Zulkifly bin Tengku Ahmad, Speaker DUN Dato’ Sri Haji Ishak bin Mohammad, Sahibus Samahah Mufti Pahang, YH Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman bin Osman, Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas, YB Dato’ Haji Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang, YB Kapten (B) Dato’ Haji Mohd Johari bin Haji Husain, Ahli Parlimen Rompin YB Dato’ Haji Hassan bin Arifin, ADUN Muadzam Shah, YB Dato’ Maznah binti Mazlan dan ADUN Bukit Ibam, YB Dato’ Wan Kadri bin Wan Mahussin. Hadir sama, Presiden dan juga CEO UniKL, Prof. Dato’ Dr. Mazliham bin Mohd Su’ud, Pengerusi Syarikat Kencana Bersatu Sdn. Bhd, YH Dato’ Mohamad Said, Pegawai Daerah Rompin, YH Zulkifli bin Hashim.