PEKAN. 3 Julai 2016 bersamaan 28 Ramadhan 1437H – Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah akan bercemar duli berangkat ke majlis perasmian masjid berteknologi hijau dan majlis pengurniaan sumbangan kepada golongan memerlukan, di Kuala Pahang, dekat sini esok.

Masjid yang dibina dengan kos RM2.5 juta itu dilengkapi panel solar dan kincir angin selain sistem kitaran semula air hujan bagi menjimatkan penggunaan air sedia ada.

Ia dibina di atas tanah berkeluasan 0.4 hektar bagi menggantikan masjid lama untuk keselesaan penduduk setempat menjalankan ibadah.

Masjid berteknologi hijau yang pertama di negeri ini dibiayai sepenuhnya sebuah syarikat swasta, Landasan Kapital (M) Sdn Bhd., yang tampil menyumbang sebagai satu daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat tersebut.

Tengku Mahkota Pahang akan menamakan secara rasmi masjid tersebut dengan nama baru yang telah diperkenan oleh Paduka Sri Ayahanda baginda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.

Turut mengiringi baginda esok, Kebawah Duli Yang Teramat Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Alhaj dan paduka-paduka anakanda putera dan puteri, Yang Mulia Tengku Amir Nasser Ibrahim dan Isteri, Yang Mulia Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Yang Mulia Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah, Yang Mulia Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah dan Yang Mulia Tengku Puteri Jihan Azizah  ‘Athiyatullah.

Masjid yang dibina dengan kos RM2.5 juta itu dilengkapi panel solar dan kincir angin selain sistem kitaran semula air hujan bagi menjimatkan penggunaan air sedia ada.

Ia dibina di atas tanah berkeluasan 0.4 hektar bagi menggantikan masjid lama untuk keselesaan penduduk setempat menjalankan ibadah.

Masjid tersebut yang berkapasiti  1,500 jemaah telah dibina dengan kaedah ‘pasang siap’ bermula pada April tahun lepas dan siap sepenuhnya empat bulan kemudian.