PEKAN. 4 Julai 2016 bersamaan 29 Ramadan 1437H – Keberangkatan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah diiringi bersama KDYTM Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berserta anakanda putera dan puteri YM Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan isteri, YM Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, YM Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, YM Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah, YM Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah dan YM Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah mencemar duli ke Kampung Kuala Pahang bersempena Majlis Perasmian Masjid Baharu Kampung Kuala Pahang dan Pengurniaan Sumbangan Kepada Golongan Memerlukan.

KDYTM Tengku Mahkota Pahang atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar berkenan menamakannya sebagai Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Kampung Kuala Pahang. Masjid yang menggunakan aplikasi teknologi hijau dengan pemasangan panel solar, kincir angin dan penjimatan air yang digunakan dengan mengitar semula air hujan.¬†Masjid tersebut dibina di atas tanah berkeluasan 0.4 hektar oleh Syarikat Landasan Kapital (M) Sdn. Bhd. dengan kos RM2.5 juta mampu memuatkan sehingga 1,500 jemaah dalam satu-satu masa serta dapat memberi keselesaan kepada para jemaah untuk beribadah.

Baginda kemudiannya berkenan mengurniakan wang zakat dan hamper barangan makanan daripada Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang kepada 242 orang asnaf, keseluruhannya berjumlah RM65 ribu. Selesai kurniaan sumbangan, baginda dan keluarga meraikan asnaf dan penduduk setempat bersama-sama berbuka puasa.

Turut memuliakan keberangkatan, YAB Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Yaakob, Yang Amat Mulia Tengku Besar Pahang, Tengku Kamil Ismail bin Tengku Idris Shah, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid Haji Wan Hassan, Sahibus Samahah Mufti Pahang YH Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman Osman, YAA Hakim Mahkamah Syariah, Dato’ Haji Abdul Rahman bin Yunos, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA Negeri, YB Dato’ Abu Bakar bin Haji Harun dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Pahang, YB Dato’ Sri Sh Mohmed Puzi Sh Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri Bebar, YB Dato’ Mohammad Fakharuddin Mohd Arif, Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Manis, YB Dato’ Khairuddin Mahmud, Pemangku Pegawai Daerah Pekan, Encik Zulkifli, Ketua Pegawai Eksekutif Landasan Kapital (M) Sdn. Bhd., YH Datuk Mohd Nadzlim Mohd Noor, Pengurus Besar YIA, YH Dato’ Haji Abdul Munir Abd Basit, serta para pemimpin setempat.¬†