KUANTAN. 5 Julai 2016 bersamaan 30 Ramadhan 1437H – Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah mengagihkan wang zakat kepada 51,161 golongan asnaf seluruh negeri Pahang berjumlah RM13,759,008.00 sepanjang bulan Ramadan tahun ini.¬†Setiausaha MUIP, Yang Hormat Dato’ Ahmad Hairi bin Hussain memberitahu, wang zakat tersebut telah diagih kepada 51,161 asnaf yang layak menerimanya termasuk 615 buah masjid dan surau (kebenaran Jumaat) turut menerima bantuan daripada MUIP sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

Menurutnya, seramai 3,896 orang asnaf fakir miskin dan anak yatim menerima agihan wang zakat sejumlah RM1,040,260.00 yang disempurnakan oleh Tuanku Yang Dipertua MUIP, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan KDYTM Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj ketika baginda bercemar duli berangkat sempena Majlis Berbuka Puasa bersama-sama rakyat di 20 buah kampung di negeri ini.¬†Menurut Dato’ Ahmad Hairi, agihan lain dibuat oleh pihak MUIP, menerusi Timbalan Yang Dipertua MUIP, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Wan Hassan, pegawai-pegawai MUIP dan amil-amil di daerah-daerah.

Tambah beliau, selain asnaf fakir dan miskin menerima Bantuan Hari Raya RM3,640,850.00 (18,817 orang), Bantuan Pendidikan Pelajar-Pelajar Miskin RM1,651,758.00 (7,070) dan Bantuan kepada 2,050 anak yatim (miskin) RM218,000.00, MUIP juga telah mengagihkan kepada asnaf mualaf Bantuan Tahunan Hari Raya berjumlah RM2,888,200.00 (15,078 orang), untuk asnaf fisabilillah Bantuan Am Ramadan Masjid RM3,210,000.00 (615 buah Masjid dan Surau Kebenaran Jumaat) juga Saguhati Hari Raya Imam, Bilal dan Siak Masjid Kariah RM830,700.00 (2,769 orang). Selain itu, tiga buah hospital dilawati sempena Program Ziarah Prihatin Hospital dan sumbangan kepada pesakit-pesakit RM181,740.00 (699 orang), Bantuan Bencana Alam kepada 167 keluarga mangsa ribut di tiga buah mukim daerah di Temerloh, Mukim Sanggang, Kerdau dan Songsang sebanyak RM97,500.00.