PEKAN. 6 Julai 2016 bersamaan 1 Syawal 1437H – Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bercemar duli berangkat ziarah makam bonda baginda, Almarhumah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang, Tengku Hajjah Afzan Rahimahallah binti Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad, di Makam Diraja Pekan ,disini semalam.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah Yaasin dan tahlil yang dipimpin Alfadhil Qadhi Daerah Pekan, Ustaz Ahmad Nizam bin Abdul Manan.

Selesai tahlil, Tengku Mahkota Pahang mengetuai majlis menabur bunga dan menjirus air tahlil di pusara bonda baginda.

Almarhumah Tengku Ampuan Afzan mangkat tanggal 29 Jun 1998 bersamaan 15 Zulkaedah 1408, iaitu genap 28 tahun ketika Tengku Mahkota Pahang berusia 39 tahun.

Tengku Mahkota Pahang sekeluarga turut bercemar duli berangkat mengziarah Makam Diraja di Kampung Marhum.

Makam tersebut bersemadinya Almarhum Sultan Ahmad 1, Almarhum Sultan Abdullah dan kaum kerabat diraja Pahang dan Johor.

Berangkat sama mengiringi baginda, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Alhaj dan paduka-paduka anakanda putera dan puteri, Yang Mulia Tengku Amir Nasser Ibrahim dan Isteri, Yang Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Yang Mulia Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Yang Mulia Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah, Yang Mulia Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah dan Yang Mulia Tengku Puteri Jihan Azizah  ‘Athiyatullah.

Turut mengiringi, Paduka kekanda-kekanda, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Pahang
Tengku Tan Sri Hajjah,Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Pahang Hajjah Tengku Dato’ Muhaini, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Kemala Pahang
Tengku Hajjah Dato’ Aishah, . Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Bongsu Pahang Tengku Dato’ Hajjah Shahariah dan suami masing-masing.

Turut memuliakan keberangkat rombongan diraja itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Peramu Jaya, YB Dato’ Sri Sh Puzi bin Sh Ali, Pegawai Daerah Pekan, Encik Zulkifli bin Hashim, Ketua Polis Daerah Pekan, ACP Amran, Pengurus Besar Yayasan Istana Abdulaziz, YH Dato’ Abdul Munit Abdul Basit dan Setiausaha MUIP, YH Dato’ Ahmad Hairi bin Hussain.